KUALA LUMPUR 1 Mac - Prospek ATA IMS Bhd. masih kekal membimbangkan di sebalik usahanya untuk memulihkan semula reputasi dan keyakinan di mata pelabur, menurut AmInvestment Bank Research.
Malah, firma itu mendapati, sebarang hasil yang konkrit daripada cadangan penyelesaian yang dilaksanakan hanya boleh direalisasikan dalam tempoh 6 hingga 9 bulan tanpa jaminan ia akan memberi pulangan yang positif.
"Dalam hal ini, kami berpendapat, risiko operasi kumpulan dalam tempoh jangka pendek masih kekal tinggi terutamanya disebabkan krisis kekurangan tenaga buruh yang masih berterusan dan dakwaan penggunaan buruh paksa.
"Selain itu, ia turut dipengaruhi dengan kemungkinan aset tidak dijual, skala tidak ekonomik dan reputasi yang terjejas, meningkatkan cabaran untuk mendapatkan pelanggan dan kontrak baharu," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dyson Operations Pte Ltd dan Dyson Manufacturing Sdn Bhd menamatkan kontrak dengan ATA IMS yang menyumbang 80% kepada hasil kumpulan pada November tahun lalu ekoran dakwaan wujudnya penggunaan buruh paksa.
Sejak itu, kumpulan telah melaksanaan beberapa langkah drastik untuk mengurangkan kos, antaranya, menjual semula 50% daripada lebihan bahan mentah dan komponennya kepada pelanggan atau pengeluar lain.
Kumpulan juga berbincang dengan pemilik aset untuk menghentikan pajakan 10 kilang dan gudang sebelum tamat tempoh perjanjian penyewaan.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersihnya merosot hampir 90% kepada RM5.53 juta pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2021 (3QFY22) berbanding RM53.31 juta yang direkodkan tempoh sama sebelumnya.
Pendapatan bagi tempoh itu juga susut 41.66% kepada RM683.81 juta daripada RM1.17 bilion setelah terjejas dengan masalah kekurangan buruh yang mengakibatkan penggunaan kapasiti pengeluaran berkurangan.
Bagi tempoh 9 bulan berakhir 31 Disember 2021, untung bersihnya susut kepada RM17.74 juta berbanding RM123.36 juta manakala pendapatan menurun kepada RM2.17 bilion daripada RM3.25 bilion.
Menurut AmInvestment, prestasi kewangan ATA IMS bagi tempoh 9 bulan adalah melebihi ramalannya dan juga konsensus.
"Bagaimanapun, kami mengekalkan unjuran kerugian bagi tahun kewangan 2022 (FY22) memandangkan masalah kekurangan buruh yang berterusan masih membimbangkan kepada kumpulan.
"Sebelum ini, pada 2QFY22, masalah buruh ini telah mengheret ATA IMS mengalami kerugian pada tempoh berkenaan," tambahnya.
Bagi FY23 hingga FY24 pula, firma itu turut menjangkakan kumpulan merekodkan kerugian kerana ketidakupayaannya memperoleh kontrak daripada pelanggan baharu.
"Kami secara konservatif menganggap bahawa pertumbuhan kumpulan dalam tempoh 2 tahun akan datang hanyalah daripada pelanggan sedia ada/baki, yang tidak menyediakan skala ekonomi yang mencukupi untuk kekal menguntungkan," jelasnya.
Ini mendorong AmInvestment mengulangi saranan 'jual' terhadap ATA IMS dengan nilai wajar (FV) lebih rendah pada 29 sen sesaham (berbanding 30 sen sebelum ini).
"Penilaian lebih rendah kami ini mengambil kira pengurangan 6% daripada 3% sebelum ini berikutan penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang lebih rendah kepada 1 bintang (daripada 2 bintang) selepas kami membuat semakan semula metrik ESG," katanya.
Setakat 3.01 petang ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 2.41% kepada 42.5 sen dengan 8.43 juta saham diniagakan. - DagangNews.com