ATLAS Vending memperkenalkan mesin layan diri Braille pertama menerusi kerjasama dengan MAB | DagangNews Skip to main content

ATLAS Vending memperkenalkan mesin layan diri Braille pertama menerusi kerjasama dengan MAB

KUALA LUMPUR 1 Nov – ATLAS Vending, pengendali mesin layan diri makanan dan minuman terbesar di seluruh Malaysia dan Singapura, mencipta sejarah menerusi kerjasama dengan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) bagi melancarkan program rintisnya untuk menempatkan mesin-mesin layan diri yang menampilkan ciri-ciri bantuan tambahan bagi membolehkan akses oleh pelanggan kelainan upaya penglihatan.

 

Program yang pertama seumpamanya ini menampilkan mesin layan diri yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai mesin layan diri Braille pertama di Malaysia.

 

Usaha ini selaras dengan sasaran ATLAS Vending untuk mengurangkan halangan yang dialami oleh komuniti kelainan upaya penglihatan, seperti akses yang terhad kepada mesin layan diri yang menjual minuman di tempat-tempat awam.

 

ATLAS Vending menyasarkan untuk terus meningkatkan akses bagi golongan yang mempunyai keperluan khas ini, untuk menambah baik pengalaman membeli mereka.

 

Sebanyak 11 mesin layan diri yang dilancarkan dalam program rintis ini diletakkan di sekitar stesen LRT, termasuk di sekitar Brickfields.

 

Pemilihan lokasi tersebut dilakukan melalui rundingan dengan MAB yang telah mengenal pasti lokasi yang sering dilalui oleh komuniti kelainan upaya penglihatan ketika mereka berulang-alik ke MAB bagi tujuan kerja atau menghadiri aktiviti sosial.

 

Bagi memudahkan akses, mesin layan diri tersebut telah dilengkapi dengan plat Braille, petunjuk bercahaya dan alat pengimbas gerakan yang akan mengaktifkan arahan audio secara automatik.

 

Ciri-ciri bantuan tambahan pada mesin layan diri berkenaan telah direka bentuk dan diuji dengan kerjasama pasukan Akses MAB, yang pakar dalam menilai fungsi akses untuk golongan kelainan upaya penglihatan.

 

Hal ini adalah penting bagi memastikan ciri-ciri istimewanya benar-benar dapat memenuhi keperluan pengguna kelainan upaya penglihatan. Mesin ini juga masih mengekalkan ciri-ciri biasa untuk kegunaan pelanggan-pelanggan lain.

 

 

mab
Amy Gan (kanan) bersama George Thomas dan Siti Huraizah Ruslan semasa melancarkan mesin layan diri Braille di Kuala Lumpur, hari ini.

 

 

Ketua Pemasaran & Perniagaan Sokongan ATLAS Vending, Amy Gan berkata, pihaknya berasa amat gembira kerana kerjasama ini telah membuahkan hasil selepas berbulan lamanya berganding bahu dengan pasukan di MAB, daripada fasa konsep hinggalah kepada pengujian prototaip, dan pelancaran mesin yang sebenar.

 

Menurutnya, pada setiap langkah, maklum balas serta cadangan daripada pasukan MAB telah dikaji dan diterima pakai bagi memastikan reka bentuk akhir mesin tersebut benar-benar dapat memberi kemudahan kepada pelanggan kelainan upaya penglihatan.

 

 

mab
Huruf Braille bagi membantu orang cacat penglihatan membeli air minuman atau makanan.

 

 

''Perincian seperti kelajuan suara arahan audio dan warna petunjuk bercahaya menjadi panduan penting dalam membantu pasukan teknologi ATLAS Vending menambah baik reka bentuk fizikal dan ciri-ciri perisian,'' katanya pada majlis pengumuman mesin tersebut di sini hari ini.

 

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAB, George Thomas dan Eksekutif Aksesibiliti dan Advokasi MAB, Siti Huraizah Ruslan.

 

Di ATLAS Vending kata beliau, syarikat itu telah menjalankan perniagaan menyediakan penyelesaian mesin layan diri selama lebih 40 tahun, oleh itu inisiatif untuk memperbaiki inklusiviti melalui usaha untuk terus meningkatkan akses dengan menggunakan teknologi adalah satu pencapaian penting bagi syarikat. – DagangNews.com