Audit berkanun : Serba Dinamik beri maklum balas kepada KPMG  | DagangNews Skip to main content

Audit berkanun : Serba Dinamik beri maklum balas kepada KPMG 

 

 

KUALA LUMPUR 27 Mei - Penyedia perkhidmatan kejuruteraan bersepadu global, Serba Dinamik Holdings Bhd. telah memberi maklum balas kepada perkara yang dibangkitkan oleh juruaudit luarannya, KPMG PLT berhubung audit berkanun tahunannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr. Ir. Mohd. Abdul Karim Abdullah berkata, pihak pengurusan telah mengambil tindakan segera untuk menangani perkara tersebut dengan lebih awal, sebelum pengumuman dibuat kepada Bursa Malaysia pada 26 Mei 2021.

 

“Kami tidak menukar struktur perniagaan kami dengan ketara sejak tawaran awam permulaan pada 2017 dan telah bekerjasama dengan KPMG, yang juruauditnya telah mengetahui mengenai operasi kami, sejak 2013.

 

“Pihak pengurusan mengetahui bahawa kami telah menjalankan perniagaan kami secara profesional,” katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama hari ini.

 

 

Mohd. Abdul Karim Abdullah
Mohd. Abdul Karim Abdullah

 

 

Mohd. Abdul Karim menjelaskan Serba Dinamik telah mendapatkan firma bebas antarabangsa yang berpotensi untuk menilai ketepatan perkara yang dikemukakan oleh KPMG selepas berunding dengan Bursa Securities.

 

“Masa adalah penting memandangkan kami perlu menyediakan laporan tahunan kumpulan untuk penerbitan pada 31 Oktober 2021, selepas menukar tahun kewangan kami berakhir kepada 30 Jun,” katanya.

 

Baca : Serba Dinamik gantung dagangan, saham Kpower susut

 

Beliau berkata, audit untuk tahun kewangan 2020 mempunyai cabarannya, berdasarkan impak daripada pandemik COVID-19 ke atas pasaran di lebih 20 negara yang terdapat operasi kumpulan.

 

“Ini memberikan cabaran untuk memuktamadkan penyata kewangan. Kami dalam proses memuktamadkan terma-terma pelantikan firma bebas dan dijangka mengesahkan pelantikan tersebut secepat mungkin,” katanya.

 

Menurutnya, Serba Dinamik akan memberi masa dan ruang kepada firma bebas yang akan dilantik untuk mengesahkan perkara itu dengan tepat dan benar.

 

“Kami akan memaklumkan dengan segera sebarang perkembangan secara telus,” katanya. - DagangNews.com