Autonomi penuh untuk Sabah, Sarawak bagi projek pembangunan di bawah RM50 juta, kata PM | DagangNews Skip to main content

Autonomi penuh untuk Sabah, Sarawak bagi projek pembangunan di bawah RM50 juta, kata PM

PUTRAJAYA 4 Jan - Sabah dan Sarawak akan mempunyai kawalan penuh ke atas pelaksanaan mana-mana projek pembangunan di bawah RM50 juta di negeri masing-masing, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Perdana Menteri berkata perubahan ini akan membolehkan kedua-dua negeri mengendalikan projek pada nilai tersebut tanpa dihalang oleh birokrasi dan memerlukan kelulusan daripada Putrajaya.

 

“Walaupun dengan kehadiran JKR (Jabatan Kerja Raya) di Sabah dan Sarawak, pelaksanaan projek pembangunan memerlukan kata putus daripada Putrajaya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet awal hari ini.

 

“Walaupun peruntukan besar diberikan, ia tidak digunakan sepenuhnya berikutan kebiasaan kerajaan yang perlu merujuk Putrajaya.

 

“Kami (Kabinet) serta Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk memberikan autonomi penuh kepada Sabah dan Sarawak bagi projek bernilai di bawah RM50 juta, dengan pematuhan sewajarnya kepada peraturan kewangan yang ditetapkan.

 

“Keputusan kini boleh dibuat di Kuching atau Kota Kinabalu [tanpa perlu dirujuk kepada kerajaan Persekutuan].”

 

Anwar juga berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat di Kuching, Sarawak, mengenai perkara berkaitan MA63 yang akan dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

 

“Pada penghujung tahun lalu, saya mengumumkan keperluan untuk mempercepatkan pelaksanaan beberapa perkara tertangguh yang masih tertangguh dalam isu MA63 (berkenaan Sabah dan Sarawak) dan saya telah menugaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai pengerusi untuk mempercepatkan urusan,” kata Anwar.

 

“Ini bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Sabah dan Sarawak Datuk Armizan Mohd Ali dan saya mengucapkan tahniah kepada mereka kerana menyegerakan mesyuarat dan keputusan yang saya anggap sangat kritikal untuk membina hubungan rapat.” – DagangNews.com