Azizan Osman: Pembimbing usahawan bonafide atau.... | DagangNews Skip to main content

Azizan Osman: Pembimbing usahawan bonafide atau....

Sesi wawancara bersama Datuk Wira Dr Azizan Osman pada 9 Mac 2022.

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

PADA 9 Mac 2021, saya buat pertama kali berkesempatan mewawancara Datuk Wira Dr Azizan Osman, seorang mentor, motivator terkenal di Malaysia.

 

Sepanjang sesi tersebut, kesediaan dan keterbukaan Azizan menjawab soalan yang sensitif dan negatif, tanpa meninggi suara atau memarahi balik wartawan (seperti kebanyakan kes orang yang tidak suka soalan) – memberi perspektif baharu terhadap Azizan.

 

Matlamat Azizan adalah untuk memberi pandangan beliau, memberi penjelasan dan semua ini tidak akan tercapai jika soalan wartawan tidak dijawab secara berhemah (betapa saya rasa hendak cadangkan ahli politik dan artis agar disediakan kursus berdepan dengan wartawan...).

 

Sejujurnya, sebagai wartawan selama 3 dekad, jaranglah wartawan sezaman saya akan kena `start-struck’, terpegun atau terkesima dengan sesiapa sama ada artis, orang ternama atau ahli politik. Semua jenis manusia sudah jumpa.

 

Satu-satunya yang membezakan ialah bila mereka bercakap dengan wartawan, apakah mereka dalam keadaan cukup bersedia dengan kejujuran untuk menjawab soalan, cukup berbudi bahasa dan berakal.

 

 

azizan osman

 

 

Azizan sebagai seorang penceramah, seorang orator dan kemahiran itu terserlah bila menjawab soalan wartawan, bukan sahaja mempamerkan ketiga-tiga perkara di atas, tetapi juga menggunakan segala bahasa badan.

 

Mata pandang mata, kepala dan badan ke hadapan, menunjukkan kesungguhannya menyampaikan mesej yang hendak diberikan kepada orang ramai menerusi wartawan. Tidak meninggi suara. Tidak maki hamun. Tidak ugut jangan salah tulis, nanti kena saman (seolah-olah memperleceh wartawan).

 

Berdasarkan nota wawancara 9 Mac 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur berikut adalah beberapa persoalan sensitif yang dilontar kepada Azizan:

 

Jual air liur/Scammer

''Netizen tidak bersalah!’’ kata Azizan merujuk kepada kecaman dalam media sosial kononnya beliau `menipu’ orang ramai bermodal `air liur sahaja’.

 

''Mereka tidak bersalah kerana mereka tidak tahu pun butiran yang kita berikan. Tak kenal maka tak cinta,’’ katanya.

 

Malah, ada segelintir `haters’ yang mengecam dirinya telah mengikuti sesi ceramah Richworks semata-mata untuk mencari kesalahan tetapi kini menjadi penyokong setelah mengetahui apa sebenarnya yang diberikan.

 

Apakah yang disampaikan?

Menurut Azizan, pihaknya menyediakan suatu sistem penyelesaian atau formula yang disesuaikan dengan keperluan individu usahawan mengikut sektor industri yang diceburinya. Ada juga sekadar menjadi ejen dropship!

 

Sistem tersebut sudah diuji dan terbukti berkesan. Bukan berasaskan trial & error. Menggabungkan kaedah situasi semasa individu dengan merujuk kepada kes kajian, suatu strategi dirumuskan untuk diikuti oleh individu. Ini permulaan proses bimbingan dalam kelab Titanium.

 

 

azizan osman

 

 

Bagaimana bimbingan dibuat?

Syarikat yang menyertai kelab Titanium, setiap minggu perlu mengemukakan laporan operasi kepada Richworks untuk analisis prestasi.

 

Syarikat ini dihimpunkan dalam satu ekosistem di mana mereka bukan sahaja boleh bertanya atau mengadu dengan pembimbing tetapi juga berkongsi dengan rakan-rakan perniagaan lain.

 

Ini memberi peluang mereka saling memahami perniagaan masing-masing, terutama sektor berlainan. Dan paling penting, inilah bibit networking yang cukup berguna.

 

Kisah kejayaan?

Richworks sudah mula menguar-uarkan syarikat-syarikat bimbingannya yang dikira mencapai kejayaan menerusi sistem yang dibangunkan.

 

Satu daripada entiti terbaharu ialah syarikat yang menaja sebuah pertandingan lagu popular di stesen televisyen baru-baru ini.

 

Elemen penting ialah Richworks turut membuat pelaburan tunai di dalam syarikat dibimbingnya itu. Di sini, ia memastikan selepas lengkap proses bimbingan, sesebuah syarikat itu tidak tergelincir di masa-masa mendatang.

 

''Kita sudah bimbing, cakna dan jayakan sesebuah syarikat.... takkan bila berbuah nanti orang lain pula merasa nikmatnya. Jadi kita juga suntik pelaburan dana.

 

''Beberapa syarikat ini, sedang mempersiapkan diri untuk melaksanakan proses penyenaraian awam dan ini adalah selaras dengan matlamat kita membimbing usahawan ke tahap nasional dan global,’’ ujarnya.

 

 

azizan osman

 

 

Masih hendak cemuh `bisnes air liur’?

Secara objektif, saya buat homework mengenai Azizan dan Richworks. Saya faham bahawa keberadaan Azizan adalah sebagai pembimbing usahawan. Bukannya sekadar memberi motivasi di kaca tv.

 

Kalau hendak berterusan mencemuhnya jual air liur, lihat syarikat-syarikat yang berjaya menerusi bimbingannya.

 

Lihat juga mengapa kursus atau kelas bimbingan usahawannya sentiasa mendapat sambutan daripada ramai ahli perniagaan. Ini kerana disebalik melayan cemuhan netizen, mereka mencari jawapan terus kepada Azizan.

 

Dan Azizan ada kunci kepada persoalan cara membangunkan perniagaan. Ini tiada pada netizen.

 

ManagePay System Berhad

Saya bertanya mendalam mengenai kedudukannya di dalam MPay iaitu pelabur utama dengan 10.58% kepentingan di dalam syarikat.

 

Laporan penuh boleh dibaca di sini: AZIZAN OSMAN TIDAK TOLAK KEMUNGKINAN TAMBAH SAHAM DI DALAM MPAY

 

 

MPay

 


Dalam konteks cemuhan `jual air liur’, saya berpandangan bahawa penglibatan Azizan di dalam sebuah entiti korporat tersenarai ini, bakal memadamkan segala kecurigaan terhadap dirinya yang dituduh `scammer’ oleh sesetengah pihak.

 

Sebagaimana semua tahu, pelabur di dalam syarikat tersenarai awam, tertakluk di bawah peraturan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia. Kita maklum betapa kedua-dua badan regulatori ini cukup tegas bertindak ke atas syarikat atau ahli lembaga pengarah yang didapati melanggar peraturan.

 

Secara peribadi saya mengalu-alukan penyertaan aktif Azizan di dalam dunia korporat kerana latar belakangnya dan langkah keputusannya kelak boleh diakses kepada orang ramai, sekali gus menghapuskan keraguan walaupun bab cemuhan tidak siapa boleh jamin. Lumrah netizen...

 

Daripada satu aspek, sebagai pembimbing banyak syarikat, Azizan memiliki pengikut sedia ada yang akan mengikuti dan pastinya akan turut sama melabur di mana sahaja Azizan berada atau buat.

 

Seorang remisier pernah memberitahu ‘’sudah tiba masanya Bursa Malaysia memiliki seorang lagi tokoh pelabur yang boleh merancakkan bursa saham negara ini’’. Ini setelah beberapa `superstar’ yang ada berdepan dengan PN17.

 

Akhirul Kalam

Saya sedang cuba menghabiskan bacaan buku tulisan terbaharu Azizan ‘Bangkit Bisnes Dari Krisis’ yang dilancarkan pada 7 Mac 2022. Ini proses saya memahami lebih lagi mengenai idea Azizan dan siapa diri beliau.

 

 

azizan osman

 

 

Kalau hendak selamanya terpengaruh dengan kecaman negatif netizen terhadap Azizan, elok saya tengok Netflix daripada membaca buku tersebut.

 

Marilah kita sama-sama tabayyun.   – DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Only When You Leave - Spandau Ballet berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.