Azman Ahmad pangku tugas CEO Kumpulan FGV | DagangNews Skip to main content

Azman Ahmad pangku tugas CEO Kumpulan FGV

 

KUALA LUMPUR 12 Mei - FGV Holdings Bhd (FGV) melantik Azman Ahmad sebagai pegawai bertugas untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan berkuat kuasa 16 Mei 2021.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat perladangan itu berkata, Azman adalah pegawai bertugas sehingga seorang CEO Kumpulan baharu dilantik atau sehingga tempoh ditentukan oleh lembaga pengarah.

 

"Azman akan meneruskan peranan semasanya sebagai Pengarah Bahagian Kumpulan Logistik dan Perniagaan Sokongan (LSB), yang dipegangnya sejak 1 Januari 2017.

 

"Sebagai Pengarah Bahagian Kumpulan LSB, beliau bertanggungjawab di atas prestasi dan pertumbuhan keseluruhan logistik serta perniagaan sokongan sejajar dengan matlamat keseluruhan perniagaan FGV dan jangkaan pemegang taruh," katanya.

 

Awal bulan ini, FGV mengumumkan bahawa Datuk Haris Fadzilah Hassan akan meletakkan jawatan sebagai CEO Kumpulan pada 15 Mei ini. - DagangNews.com