Azman Mokhtar dilantik Pengerusi TH baharu berkuatkuasa 20 Disember 2021 | DagangNews Skip to main content

Azman Mokhtar dilantik Pengerusi TH baharu berkuatkuasa 20 Disember 2021

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Dis - Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pelantikan Tan Sri Azman Mokhtar sebagai Pengerusi TH yang baharu berkuatkuasa pada 20 Disember 2021.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, pihaknya bersyukur kerana menerima tokoh yang disegani dan berpengalaman dalam aspek pelaburan serta transformasi GLC (syarikat berkaitan kerajaan) semasa mengendalikan Khazanah Nasional Berhad bermula 2004 hingga 2018. 

 

"Walaupun negara masih lagi berdepan dengan cabaran pandemik, kami yakin dengan pengalaman, dedikasi dan kepimpinannya, TH akan terus cemerlang pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pelantikan itu diharap menjadikan TH sebagai institusi Islam yang dihormati atas pencapaian dan tadbir urus yang baik seiring dengan mandat penubuhannya untuk memudahkan umat Islam menyimpan untuk mengerjakan haji.

 

Beliau juga merupakan pemegang Master of Philosophy in Development Studies dari Darwin College, Cambridge University dan Diploma di dalam bidang Pengajian Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). 

 

Selain itu juga, beliau adalah akauntan bertauliah Fellow of the Association of Chartered and Certified Accountants (ACCA) dan Chartered Financial Analyst (CFA). 

 

Azman berpengalaman luas dalam bidang kewangan, perniagaan dan ekonomi selain berkredibiliti tinggi khususnya dalam komuniti perniagaan di Malaysia dan di peringkat global.

 

Antara lantikan terkini beliau termasuk Pengerusi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Pengerusi International Centre of Education in Islamic Finance (INCEIF) dan ahli Majlis Pemulihan Negara. 

 

Selain daripada Khazanah, beliau pernah menjadi antara pemangkin utama beberapa organisasi korporat negara seperti Axiata Group Berhad, Iskandar Investment Berhad dan IHH Healthcare Berhad. 

 

TH turut berterima kasih kepada Tan Sri Md. Nor Yusof yang dilantik sebagai Pengerusi pada 10 Julai 2018 berjaya mencatat jumlah deposit tertinggi iaitu sebanyak RM81.41 billion sehingga Jun lalu. - DagangNews.com