KUALA LUMPUR 23 Feb - Jenama penjagaan diri tempatan, Bad Lab melancarkan inisiatifnya terbaharu melibatkan sukan permotoran melalui kerjasama dengan Boon Siew Honda Racing Team menerusi kempen 'Man-Gineered For Power'.
Kempen tersebut merupakan sebahagian daripada misi Bad Lab untuk menyokong bakat-bakat baharu terutamanya pelumba motosikal tempatan yang berkaliber agar satu hari nanti dapat beraksi di arena antarabangsa.
Jenama Bad Lab (Brave and Daring Laboratory) direka khususnya untuk lelaki bukan konvensional yang berani dan tidak mudah menyerah kalah.
Ciri-ciri ini menjadikannya jenama yang amat sesuai untuk jalinan kerjasama dengan Boon Siew Honda Racing Team, sebuah entiti di bawah Boon Siew Honda yang bertanggungjawab menguruskan divisyen sukan permotoran bagi syarikat gergasi yang mula ditubuhkan di Jepun.
Pengarah Komersil Bad Lab, Lum Chong Heng berkata, keputusan menjalin kerjasama dengan Boon Siew Honda Racing Team bukan sahaja satu keputusan strategik, namun ia begitu sejajar dengan misi pihaknya memperkasa generasi muda agar berani dan tidak mudah menyerah kalah merealisasikan impian.
Katanya, ia adalah di antara peristiwa paling penting di dalam sejarah jenama Bad Lab sejak ia mula diperkenalkan kepada pasaran tempatan dan dunia pada 2014.
"Kempen Man-Gineered For Power merupakan satu daripada strategi kami untuk menyokong serta membangunkan generasi baharu pelumba Malaysia.
"Selari dengan itu, kami akan menyediakan satu platform khusus agar mereka bukan sahaja dapat menampilkan bakat yang ada, malah dapat menimba pengalaman dan belajar daripada pelumba-pelumba lain yang hebat dan senior," katanya.
Dalam pada itu, Bad Lab juga telah memperkenalkan para pelumba yang bakal mewakili Bad Lab KC Honda Racing Team, iaitu pasukan pelumba motosikal Bad Lab.
Pelumba-pelumba tersebut adalah, Muhammad Irfan Haykhal Amidi, 16, dari Negeri Sembilan, Muhamad Shahzul Naim Razali, 25, (Selangor), Adib Hareez Hazwat, 17, (Johor) dan Muhammad Farish Iqmal Khayrul Elyas, 17, dari Johor.
Pengurus Boon Siew Honda Racing Team, Zulhelmi Ahmad pula berkata, pihaknya amat teruja bekerjasama dengan Bad Lab untuk membentuk Bad Lab KC Honda Racing Team.
Katanya, Bad Lab amat dikenali dengan inisiatif yang berkait rapat dengan trend serta genre budaya alternatif golongan muda dan dalam proses ini, ia telah berjaya merealisasikan impian audiens jenama hebat ini. - DagangNews.com