KUALA LUMPUR 18 Sept – Kemudahan Gas Tambahan Bintulu (BAGSF-2) memulakan penghantaran gas ke loji metanol Sarawak yang baharu di Bintulu, menyokong pertumbuhan selanjutnya industri petrokimia di negeri Sarawak.
Bekalan awal gas daripada BAGSF-2 melalui saluran paip yang baru dibina menyediakan bahan api untuk pentauliahan loji metanol Sarawak Petchem Sdn Bhd (SPSB) berskala dunia.
Dengan reka bentuk kapasiti 390 juta kaki padu gas sehari (MMscfd), kemudahan BAGSF-2 memenuhi keperluan loji metanol baharu (160 MMscfd), ditambah 70 MMscfd untuk dibekalkan kepada loji janakuasa sedia ada Sarawak Energy Berhad (SEB) di Bintulu.
Baki kapasiti diperuntukkan untuk projek lain yang diperuntukkan di Bintulu, di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
Satu majlis telah diadakan di fasiliti Tanjung Kidurong bagi memperingati pencapaian tersebut yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Prof Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Negeri dan Timbalan Menteri. Petronas diwakili oleh Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Mohamed Firouz Asnan manakala Petronas Carigali, Pengendali BAGSF-2 diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hasliza Othman.
Bercakap bagi pihak Petronas, Firouz berkata, bekalan gas tambahan ini akan memacu pertumbuhan selanjutnya sektor hiliran Sarawak, terutamanya di kawasan Bintulu.
Menurutnya, Petronas berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada usaha ini untuk menambah nilai kepada sumber hidrokarbon yang ditemui di luar pantai Sarawak.
“Projek ini adalah bukti komitmen kami untuk menyokong aspirasi Sarawak untuk pembangunan hiliran yang lebih besar. Ini berdasarkan ‘Amanah’ kami untuk membangunkan sumber hidrokarbon di Malaysia secara bertanggungjawab untuk kepentingan rakyatnya,” tambah Firouz.
Pada 2016, Petronas menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Sarawak untuk membekalkan sejumlah 450MMscfd gas asli kepada Sarawak untuk penjanaan kuasa dan industri petrokimia milik kerajaan, yang membawa kepada pembinaan BAGSF-2 yang dijalankan oleh Petronas Carigali Sdn Bhd.
Lima tahun kemudian, Petronas menandatangani satu lagi Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meningkatkan bekalan gas kepada 1,200 bilion kaki padu gas sehari kepada Sarawak. - DagangNews.com