Bajet 2022: Hapuskan karenah birokrasi agar Malaysia jadi destinasi FDI pilihan di rantau ini - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Bajet 2022: Hapuskan karenah birokrasi agar Malaysia jadi destinasi FDI pilihan di rantau ini - Penganalisis

Oleh: TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH
editor@dagangNews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 Okt – Kerajaan digesa menghapuskan kerenah birokrasi  kerana ia merupakan strategi penting yang boleh menambah baik daya saing negara di dalam usaha menarik pelaburan terus asing (FDI), seterusnya menjadikan Malaysia negara pilihan pertama di rantau ini, demikian menurut Felo Kanan, Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun.

 

Katanya, ketika ini Malaysia menghadapi persaingan sengit dari Vietnam dan pelbagai negara jiran Asia Tenggara yang lain.

 

“Walaupun Malaysia dikatakan mempunyai dasar pro-perniagaan, namun masih terdapat kerenah birokrasi yang perlu dihapuskan demi menarik minat pelabur asing, katanya kepada DagangNews.com ketika dihubungi hari ini.

 

Beliau diminta mengulas berkenaan Belanjawan 2022 atau Bajet 2022 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen, Jumaat Ini.

 

Dalam belanjawan 2022, Oh berkata, paling banyak diperkatakan nombor satu adalah tentang pemulihan daripada pandemik dan satu lagi sudah tentu memulihkan daya tarikan Malaysia dari segi menjadi destinasi FDI sebagai destinasi kegemaran.

 

Dari segi pemulihan, beliau berkata, sejak satu setengah tahun kebelakangan ini terdapat pelbagai pakej perlindungan iaitu bantuan langsung, dilancarkan oleh kerajaan, bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

 

Beliau berharap akan melihat semacam pemotongan cukai atau sebagainya, tetapi itu juga sukar untuk dilaksanakan kerana kerajaan, secara jujur, akan kekurangan aliran tunai.

 

Menurut Oh, daripada memberi bantuan secara langsung (one-off), kerajaan boleh mempertimbangkan beberapa langkah lain bagi membantu rakyat.

 

Antaranya, kerajaan boleh melancarkan beberapa langkah yang lebih membantu, seperti memberi pinjaman, menambah tempoh moratorium selama setengah tahun lagi atau lebih.

 

“Itu sebenarnya lebih membantu orang berpendapatan sederhana berbanding satu bantuan langsung secara “one-off” untuk beberapa ratus ringgit.

 

“Kerajaan juga perlu terus mengukuhkan mereka yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana mereka adalah penjana pekerjaan utama,” tegas Oh.


 

Dr Oh Ei Sun
Dr Oh Ei Sun

 


Menyentuh lagi tentang penghapusan birokrasi bagi menarik minat pelabur luar, beliau berkata, kerajaan perlu mengambil langkah pro-aktif bagi memudahkan pelabur menjalankan dan membuka perniagaan mereka di sini dengan cepat, seterusnya menjadikan Malaysia destinasi terbaik untuk FDI.

 

“Kerajaan harus juga memikirkan insentif yang terbaik dan sebagainya dan buanglah beberapa peraturan yang membebankan.”

 

Ujar Oh, sebagai contoh, pusat sehenti yang ditubuhkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga harus berfungsi dengan baik, supaya pelabur asing tidak perlu membuang masa sehingga beberapa tahun untuk mendapatkan permit yang diperlukan untuk mengendalikan kilang mereka.

 

Merujuk kepada borang permohonan untuk mendapatkan visa perniagaan bagi ahli perniagaan (Short-term Business Visa), terdapat klausa yang mewajibkan ahli perniagaan itu ditemani oleh pegawai MITI sepanjang beliau berada di Malaysia.

 

“Ahli perniagaan itu disyaratkan menanggung setiap perbelanjaan termasuk pengangkutan dan tempat penginapan pegawai MITI yang mengikutinya sepanjang tempoh beliau berada di Malaysia. Dan ini akan mengakibatkan ahli perniagaan itu terpaksa menanggung kos yang lebih dan saya rasa ini tidak adil bagi ahli perniagaan tersebut.

 

“Jadi saya harap, MITI harus mengkaji syarat yang tidak munasabah ini,” tegas Oh.

 

Secara peribadi ujarnya, beliau tidak mempunyai banyak jangkaan besar bagi Belanjawan 2022 ini tetapi cuma PKS dan FDI adalah kunci untuk memulihkan ekonomi negara ini. - DagangNews.Com