Bajet 2022: Tiada lagi bayaran cukai keuntungan hartanah | DagangNews Skip to main content

Bajet 2022: Tiada lagi bayaran cukai keuntungan hartanah

Oleh Sr. Ts. SITI HAFSAH ZULKARNAIN

 

 

CUKAI Keuntungan Harta Tanah (CKHT) adalah cukai yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas keuntungan yang diperoleh dari pelupusan dan penjualan harta tanah oleh individu warga negara, pemastautin tetap, bukan warga negara dan syarikat.

 

Cukai ini adalah diperuntukkan di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 (Akta 169). Cukai ini dikenakan ke atas keuntungan yang diperoleh daripada perbezaan harga pelupusan dengan harga perolehan harta tanah.

 

Rasional akan wujudnya CKHT ini berlaku semasa trend pembelian rumah di Malaysia yang agak tidak terkawal dan ramai spekulator mengambil kesempatan mendapat keuntungan yang lumayan dalam tempoh yang singkat bagi urus niaga berkaitan harta tanah.

 

Dengan hanya membayar deposit rumah dengan jumlah yang agak minimum mereka berjaya mengaut keuntungan berlipat kali ganda dan secara tidak langsung memberi kesan yang serius kepada golongan B40 dan M40 untuk memiliki kediaman mereka apabila harga rumah mula melonjak tinggi dan adakalanya harga yang ditawarkan tidak masuk akal.

 

Pandemik COVID-19 yang telah melanda seluruh dunia termasuk Malaysia berlaku dengan kadar yang sangat pantas. Sektor harta tanah adalah antara sektor utama yang sangat terkesan akibat dari penularan wabak ini.

 

Senario ini telah mengakibatkan sentimen kepada pembeli dan menjadikan kadar permintaan kepada sektor pasaran harta tanah menjadi lemah.

 

Sejak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020 yang lalu, kita sering dihebahkan dengan statistik kehilangan pekerjaan dan kadar pengangguran yang semakin meningkat terutama dalam kalangan masyarakat golongan B40 dan M40.

 

Penangguhan bayaran pinjaman oleh pihak bank melalui pengenalan moratorium juga dilihat bersifat sementara dan tidak dapat membantu menyelesaikan masalah kewangan masyarakat secara menyeluruh.

 

 

Wasiyyah

 

 

Pada hari ini, masyarakat harus berfikir dan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi kemelut masalah kewangan yang dihadapi terutamanya dalam menyelesaikan semua pinjaman dan bil utiliti yang perlu dibayar setiap bulan.

 

Dalam keadaan ekonomi yang kian mencabar ditambah lagi dengan sumber pendapatan yang terjejas, masyarakat kini mula sedar dan mengambil jalan penyelesaian mudah dengan menjual aset sama ada rumah dan kereta bagi mengurangkan beban kewangan yang meruncing pada ketika ini.

 

Menyedari akan kemelut dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat pada hari ini, pihak Kerajaan telah menunjukkan keprihatinan melalui inisiatif yang dapat dilihat dengan jelas semasa pembentangan Bajet 2022 dengan memberikan pengecualian bayaran CKHT kepada keuntungan yang diperoleh hasil pelupusan harta tanah bagi tempoh pegangan 6 tahun ke atas.

PM

Inisiatif yang diberikan oleh pihak kerajaan ini dilihat sangat membantu golongan yang terjejas bagi mendapatkan keuntungan yang maksimum tanpa dikenakan cukai sebagaimana amalan yang dilaksanakan sebelum ini bagi pelupusan harta tanah.

 

Dengan pelupusan harta tanah ini secara tidak langsung masyarakat dapat menggunakan wang hasil keuntungan pelupusan harta tanah bagi menampung keperluan kehidupan seharian sehingga keadaan ekonomi kembali pulih seperti sedia kala.

 

Selain itu, inisiatif ini juga dapat membantu merancakkan lagi pasaran harta tanah apabila berlakunya transaksi jual beli yang selama ini agak terjejas akibat pandemik COVID-19. – DagangNews.com

 

 

Sr. Ts. Siti Hafsah Zulkarnain adalah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam