Bajet 2022 : Wajar beri insentif menarik bangunkan infrastruktur EV | DagangNews Skip to main content

Bajet 2022 : Wajar beri insentif menarik bangunkan infrastruktur EV

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Kerajaan sewajarnya memberi tumpuan kepada pembangunan hijau dalam sektor automotif terutama berkaitan dasar kenderaan elektrik (EV) dalam Bajet 2022.

 

Penganalisis Maybank Investment Bank (IB) Research, Liaw Thong Jun berkata, sekiranya langkah itu dilaksanakan dengan baik, akan mengubah keseluruhan landskap pengangkutan di negara ini, sejajar dengan aspirasi ke arah ekonomi rendah karbon.

 

Katanya, untuk menggunapakai dan mempercepatkan pertumbuhan, insentif cukai menarik harus diberikan kepada pengguna awal.

 

"Ini secara tidak langsung akan menarik pengeluaran produk tulen (OEM) dalam sektor automotif untuk membawa masuk model EV dalam pasaran tempatan.

 

"Dari segi keutamaan, kami melihat segmen bateri EV harus menerima peruntukan maksimum dengan status pengecualian cukai sepenuhnya, diikuti Plugin Hybrid EV dan Hybrid EV," katanya dalam nota kajian.

 

Di samping itu, menurut beliau, mewujudkan rangkaian pengecasan EV awam yang kukuh dan boleh dipercayai (sama seperti stesen minyak) akan memastikan peralihan yang lancar dan mengurangkan kebimbangan pemanduan (terutama dalam perjalanan jarak jauh).

 

"Pasaran pengecasan EV sebenarnya mempunyai potensi pertumbuhan yang sangat besar tetapi di peringkat permulaan adalah berdasarkan kepada perbelanjaan modal (terutama bagi pengecas pantas arus terus-DCFC), bergantung kepada skala, sukar untuk menjana kewangan dan perniagaan yang tidak menguntungkan," tambahnya.

 

Sehubungan itu, katanya, bagi memastikan permulaan kepada pelancaran infrastruktur ini, kerajaan perlu memainkan peranan penting dengan menawarkan insentif menarik, geran sepadan dan rebat cukai kepada operator pengecasan persendirian ini yang terlibat dengan capex pendahuluan dan menawarkan perkhidmatan awal.

 

Dalam usaha untuk terus meningkatkan lagi penggunaan EV, Thong Jun berkata, kerajaan harus mempertimbangkan tarif utiliti khas (dalam bentuk subsidi seperti minyak) untuk pengguna EV ketika di peringkat awal penggunaan. Kadar tarif bagi pengguna domestik ketika ini ialah 21.80-57.10 sen/kWh. 

 

"Kerajaan perlu menjadikan ia satu kemestian kepada bangunan komersial yang baharu dan sedia ada termasuk bangunan kediaman baharu dan sedia ada menetapkan set nisbah stesen pengecasan mengikut setiap penduduk, menambah baik akses pengecasan semalaman dengan melaksanakan peraturan 'Hak untuk Mengecas' bagi pengguna di bangunan kediaman tinggi," jelasnya.

 

Sementara itu, mengulas mengenai pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST), beliau tidak menjangkakan kemungkinan ia dilanjutkan lagi apabila berakhir 31 Disember ini. 

 

Secara keseluruhan, katanya, pemberian pengecualian ini dilihat positif kepada jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) pada 2022. 

 

"Pengecualian yang diberikan pada tahun ini, sebenarnya tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya disebabkan beberapa siri sekatan pergerakan dilaksanakan kerajaan. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan langkah ini jika dilaksanakan, akan diumumkan kemudian menjelang akhir tahun ini. Dengan mengumumkannya ketika bajet akan memperlahankan jualan pada November dan Disember," katanya. 

 

Firma itu bagaimanapun mengunjurkan TIV pada 2022 sekitar 580,000 hingga 600,000 unit manakala 2021 pula lebih rendah sekitar 500,000 hingga 520,000 (berbanding 580,000 hingga 600,000 sebelum ini).

 

Maybank IB turut mengekalkan pandangan 'positif' bagi sektor automotif dengan saranan 'beli' ke atas saham Bermaz Auto Bhd., Sime Darby Bhd., MBM Resources Bhd., UMW Holdings Bhd. dan Tan Chong Motor Holdings Bhd. -DagangNews.com