Bajet dicepatkan kepada 7 Oktober 2022 satu perkara biasa, kata PM | DagangNews Skip to main content

Bajet dicepatkan kepada 7 Oktober 2022 satu perkara biasa, kata PM

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Pembentangan bajet yang diawalkan adalah satu perkara biasa, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri berkata, perkara sama pernah dilakukan pada zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini, yang mana bajet dibentangkan pada September.

 

"Perkara biasalah. Dulu, zaman Pak Lah, bulan September (bajet dibentangkan).

 

"Tunggu pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) (Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar)," katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia di Odeon Walk, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

 

Perdana Menteri diminta mengulas laporan mengenai tarikh pembentangan Bajet 2023 yang akan diawalkan pada 7 Oktober ini berbanding jadual asal 28 Oktober ini.

 

Wan Junaidi ketika dihubungi mengesahkan perkara itu yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini, Berita Harian melaporkan.

 

 

PM
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Mengikut takwim di laman web Parlimen, mesyuarat ketiga penggal kelima dijadualkan bermula 26 Oktober hingga 15 Disember 2022 yang mana Dewan Rakyat akan bersidang selama 31 hari untuk membahaskan Bajet 2023.

 

Perkembangan terbaharu ini membuka spekulasi mengenai kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 akan diadakan segera. - DagangNews.com