BAM tidak panik dengan prestasi semasa Zii Jia | DagangNews Skip to main content

BAM tidak panik dengan prestasi semasa Zii Jia

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Nov -  Persatuan Badminton Malaysia (BAM) enggan menekan butang panik selepas perseorangan No.1 negara, Lee Zii Jia tewas dua kali kepada pemain tidak ternama dari Singapura, Loh Kean Yew di Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo.

 

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya memahami bahawa pemain mengalami keletihan selepas mengharungi lima pertandingan berturut-turut.

 

Beliau berkata, segala perancangan kejohanan dan hala tuju pemain akan diserahkan kepada barisan kejurulatihan negara.

 

"Secara keseluruhannya saya puas hati dengan pencapaian pemain negara terutama Zii Jia.

 

"Apa saja keputusan, saya serahkan kepada jurulatih untuk menentukan perancangan mereka seterusnya.

 

"Bagaimanapun perlu diingatkan supaya untuk tidak memberi tekanan sehingga boleh menyebabkan kecederaan yang serius kepada pemain," katanya.

 

Zii Jia sebelum itu membantu skuad badminton negara mara ke separuh akhir Piala Sudirman di Vantaa, Finland dan layak ke suku akhir Piala Thomas di Aarhus, Denmark, tewas di suku akhir Terbuka Denmark, kalah di pusingan pertama Terbuka Perancis dan muncul naib juara Terbuka Hylo.

 

Selepas ini Zii Jia dan barisan pemain dijadualkan beraksi di Indonesia Masters bermula 16 hingga 21 Novermber ini. -DagangNews.com