KUALA LUMPUR 8 Mac - Bekalan elektrik di 37 daripada 40 kawasan sekitar ibu negara yang terjejas akibat banjir kilat sejak petang semalam berjaya dipulihkan sepenuhnya oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) setakat jam 10 malam tadi.
TNB dalam satu kenyataan memaklumkan, 3 lagi kawasan yang masih terjejas akibat penutupan bekalan elektrik sementara adalah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Impiana Hotel KLCC dan Menara Perak.
Jelasnya, bekalan terpaksa dihentikan sementara demi keselamatan pengguna.
"Pasukan teknikal TNB sedang giat menjalankan kerja-kerja pemulihan bekalan yang akan disalurkan secara berperingkat.
"Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada apabila hujan lebat yang menenggelamkan pepasangan TNB," katanya.
Tambah kenyataan itu, kesabaran dan keprihatinan pengguna semasa kerja-kerja baik pulih sedang berjalan amat dihargai.
Untuk sebarang pertanyaan mengenai bekalan elektrik dan aduan berkaitan pepasangan TNB, sila hubungi TNB CareLine di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine. - DagangNews.com