Bank diminta tangguh tindakan terhadap peminjam yang gagal membayar hutang - PM | DagangNews Skip to main content

Bank diminta tangguh tindakan terhadap peminjam yang gagal membayar hutang - PM


Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Dis - Bank-bank diminta menangguhkan tindakan undang-undang peminjam-peminjam yang gagal membayar balik hutang selain membantu mereka yang menghadapi kesulitan untuk membuat pembayaran pinjaman. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mengalu-alukan usaha sektor perbankan yang terus menyokong dan membantu peminjam yang menghadapi masalah kewangan bagi penstrukturan semula pinjaman. 

 

Beliau berkata, kerajaan juga mengambil maklum usaha sektor perbankan yang tidak terlalu cepat mengambil jalan mudah untuk terus meletakkan mereka yang benar-benar menghadapi kesulitan di dalam senarai hitam peminjam atau senarai muflis. 

 

"Peminjam yang masih memerlukan bantuan disarankan untuk segera menghubungi bank masing-masing bagi membincangkan pilihan penstrukturan dan penjadualan semula yang bersesuaian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sedang giat melaksanakan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) bagi peminjam B50 yang terkesan akibat pandemik COVID-19. 

 

Menerusi program berkenaan, peminjam diberikan pengecualian faedah selama tiga bulan, penangguhan bayaran atau moratorium serta pilihan pengurangan ansuran sehingga dua tahun dan sokongan pembangunan, pendidikan dan khidmat nasihat untuk membantu mengurus kewangan agar lebih berdaya tahan.

 

pmkl

 

Perdana Menteri berkata, peminjam akan diberikan bantuan secara menyeluruh termasuk pelan kewangan peribadi yang disesuaikan berdasarkan kemampuan bagi memastikan bantuan jangka panjang lebih bermakna buat mereka sejajar dengan pemulihan ekonomi.

 

"Peminjam yang layak dan berhasrat untuk memohon kemudahan di bawah URUS boleh berhubung dengan bank masing-masing sebelum 31 Januari 2022. 

 

"Selain daripada program URUS, peminjam masih boleh mendapatkan bantuan lain daripada bank masing-masing yang sesuai dengan keperluan dan keadaan kewangan mereka," katanya.

 

Perdana menteri berkata, kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia telah menaikkan nilai ambang muflis kepada RM100,000 untuk memberi perlindungan kepada mereka yang mungkin masih tidak dapat bertahan dari segi kewangan akibat kesan pandemik.

 

Beliau berkata, peruntukan itu dibuat berdasarkan Akta Insolvensi (1967), dan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (2020).

 

"Walaupun kadar muflis telah berkurangan sebanyak 50 peratus selepas sektor ekonomi mula dibuka secara berperingkat sejak Oktober lalu, namun ekonomi Malaysia akan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya," katanya. - DagangNews.com