Bank Islam isytihar dividen interim 10.40 sen sesaham untuk FY22 | DagangNews Skip to main content

Bank Islam isytihar dividen interim 10.40 sen sesaham untuk FY22

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Dis - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengisytiharkan dividen interim satu peringkat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebanyak 10.40 sen sesaham biasa, berjumlah kira-kira RM224.15 juta.

 

Bank Islam dalam satu kenyataan berkata, Lembaga Pengarah Bank Islam juga telah menetapkan bahawa pelan pelaburan semula dividen (DRP) akan digunakan untuk keseluruhan dividen interim, memberikan pemegang saham Bank Islam pilihan untuk melabur semula dividen ke dalam saham biasa baharu bank itu.

 

Menurutnya, pada 20 Januari 2022, Bank Islam telah membayar dividen interim sebanyak 10.93 sen sesaham biasa, berjumlah RM226.9 juta bagi tahun kewangan sebelumnya berakhir 31 Disember 2021. 

 

Katanya, daripada jumlah dividen tersebut, kira-kira 12% atau RM27.6 juta telah diagihkan sebagai dividen tunai manakala baki 88% berjumlah RM199.3 juta dilaburkan semula untuk melanggan 79,396,600 saham biasa baharu pada RM2.51 setiap satu melalui DRP. Saham biasa baharu tersebut disenaraikan pada 21 Januari 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, sebahagian besar daripada perniagaan dipacu segmen runcit, Bank Islam terus memperkukuhkan kekuatan terasnya dengan mengekalkan model pembiayaan pembayaran bercagar, pada masa sama membentuk jalinan kerjasama dengan organisasi sasar.

 

Beliau berkata, dengan menjalankan perniagaan yang bertumpukan pelanggan, Bank Islam berusaha untuk menyediakan penyelesaian kewangan merentasi pelbagai segmen menerusi saluran edaran Perbankan Runcit dan Perbankan Kekayaan Premium.

 

Menurutnya, Bank Islam kekal komited untuk merealisasikan rancangan strategik perniagaan lima tahun untuk menjadi peneraju dalam penyelesaian kewangan lengkap ShariahESG dengan kepimpinan dalam perbankan digital dan kewangan sosial.

 

 

bankislam
                                      Mohd Muazzam Mohamed

 

 

"Dalam merealisasikan matlamat kumpulan untuk sentiasa bersedia demi masa hadapan, kami telah memulakan fasa kedua Pelan Tindakan IT empat tahun untuk meningkatkan cara kerja Bank Islam.

 

"Langkah tersebut membolehkan kami mengukuhkan infrastruktur IT dengan berkesan serta memberi tumpuan kepada peningkatan pengalaman pelanggan dan menyampaikan objektif perniagaan," katanya.

 

Sehingga ini katanya, bank telah meluluskan kira-kira RM2.9 bilion dalam pembiayaan hijau untuk projek-projek tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa mampan, pengangkutan awam dan pembuatan hijau.

 

"Bank Islam telah menetapkan sasaran RM4 bilion untuk meningkatkan portfolio pembiayaan hijaunya menjelang tahun 2025," katanya.

 

Tambahnya, bagi mencapai matlamat ini, Bank Islam sedang giat memperkukuhkan segmen pembiayaan iklim dengan membangunkan produk bersasar termasuk pembiayaan terhadap usaha peralihan rendah karbon perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pembiayaan berkaitan ESG untuk syarikat korporat yang beralih operasi perniagaan mereka ke arah pelepasan rendah karbon. - DagangNews.com