Bank Islam, PPZ-MAIWP bekerjasama perkasa usahawan menerusi program iTEKAD | DagangNews Skip to main content

Bank Islam, PPZ-MAIWP bekerjasama perkasa usahawan menerusi program iTEKAD

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Dis - Bank Islam Malaysia Berhad memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi memperkasakan agenda pembangunan usahawan pembiayaan mikro iTEKAD.

 

Menerusi perjanjian itu, usahawan mikro yang juga merupakan pembayar zakat perniagaan PPZ-MAIWP, mempunyai peluang untuk memohon pembiayaan mikro 
iTEKAD, tertakluk kepada syarat kelayakan. 

 

Dilancarkan pada Mei 2020, iTEKAD direka untuk membantu usahawan mikro yang tidak atau kurang mendapat perkhidmatan perbankan, mendapatkan modal yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan. 

 

Dengan iTEKAD, usahawan mikro berpeluang untuk mencapai daya tahan kewangan, meraih pendapatan mampan dan seterusnya menyumbang kepada komuniti.

 

Menerusi kerjasama PPZ-MAIWP, Bank Islam menyasarkan seramai 500 pembayar zakat PPZ-MAIWP yang layak akan mendapat kemudahan pembiayaan tersebut dalam tempoh 12 bulan akan datang. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, program pembiayaan mikro iTEKAD sejajar dengan komitmen mereka untuk memastikan aspek kemampanan dan nilai-nilai di bawah konsep pengurusan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) diambil kira dalam segenap operasi perniagaan. 

 

Katanya, sejak diperkenalkan pada tahun 2020, Bank Islam telah membantu lebih 510 usahawan mikro dengan melibatkan jumlah pembiayaan hampir RM8.5 juta di bawah program kewangan inklusif ini.

 

bank islam

 

“Demi memastikan objektif program tercapai, Bank Islam telah menjalinkan kerjasama dengan 29 rakan pelaksana termasuklah Majlis Agama Islam Negeri, bagi memastikan usahawan terlibat menerima bantuan dan sokongan profesional untuk perniagaan yang berdaya tahan," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, PPZ MAIWP amat berbesar hati dan membuka pintu dengan mana-mana syarikat korporat atau agensi kerajaan dalam menjalinkan kerjasama strategik seumpama itu.

 

Perjanjian itu bukan sekadar permulaan strategik antara PPZ-MAIWP dan Bank Islam, tetapi lebih sebagai penggalak dan pendorong untuk meningkatkan kerjasama baik dan pihaknya yakin bahawa dengan penyatuan kepakaran yang dimiliki oleh setiap pihak mampu memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat.

 

“Sinergi antara PPZ-MAIWP dan Bank Islam ini juga adalah sebagai tanda penghargaan dan merupakan satu nilai tambah kami kepada pembayar zakat perniagaan, khususnya usahawan mikro, supaya dapat mengembangkan perniagaan mereka," katanya. - DagangNews.com