Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Nov - Bank Islam Malaysia Bhd mengumumkan terbitan tranche keempat Sukuk Murabahah subordinat bernilai RM300 juta.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, bank itu berkata, sukuk murabahah subordinat berkenaan diterbitkan di bawah Program Sukuk Murabahah yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 6 September 2018.
"Di bawah Program Sukuk Murabahah, Bank Islam diberi kelonggaran untuk menerbitkan Sukuk Murabahah Subordinat dan/atau Sukuk Murabahah Kanan, semasa tempoh ketersediaan di bawah Program Sukuk Murabahah terbabit.
"Sukuk Murabahah Subordinat yang diterbitkan di bawah Program Sukuk Murabahah akan layak sebagai modal kawal selia Tahap 2 Bank Islam selaras dengan Rangka Kerja Kecukupan Modal Bank Negara Malaysia untuk Bank Islam (Komponen Modal). Oleh itu, ia akan meningkatkan kecukupan modal Bank selaras dengan keperluan Basel III," katanya di sini hari ini.
Tambahnya, Bank Islam juga merupakan penasihat utama, penyusun utama, ketua pengurus dan penasihat syariah bagi Program Sukuk Murabahah berkenaan.
Sukuk tersebut akan matang pada 12 November 2031 dan diberi penarafan A1/Stabil oleh RAM Ratings Services Bhd. -DagangNews.com