Bank Islam terus komited tawar moratorium | DagangNews Skip to main content

Bank Islam terus komited tawar moratorium

 

 

KUALA LUMPUR 30 Jun - Bank Islam Malaysia Berhad terus komited menawarkan moratorium selama enam bulan untuk pelanggan daripada segmen B40, M40 atau T20 serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MPKS) yang terjejas mulai 7 Julai ini.

 

Setakat ini, Bank Islam sudah membantu 5,251 pelanggan individu dan MPKS dengan jumlah pembiayaan tertunggak lebih RM888 juta sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh berkuat kuasa 1 Jun lalu.

 

Jumlah ini termasuk 5,166 pelanggan individu dengan pembiayaan tertunggak bernilai lebih RM603 juta, manakala 85 permohonan melibatkan jumlah keseluruhan bernilai lebih RM285 juta adalah di bawah segmen MPKS.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pihak bank sentiasa komited memastikan pelanggan kekal berdaya tahan dalam tempoh yang tidak menentu ini dengan memperkenalkan pelbagai bentuk pakej bantuan bayaran balik pembiayaan.

 

Katanya, di bawah program bantuan bayaran balik yang bermula pada Ogos 2020, Bank Islam telah membantu hampir 30,000 pelanggan individu dengan jumlah tertunggak sebanyak RM3.74 billion setakat 18 Jun 2021 manakala bagi MPKS pula berjumlah lebih RM670 juta membabitkan kira-kira 200 pelanggan.

 

"Industri perbankan Islam juga giat meningkatkan usaha menyokong segmen terkesan bagi menjamin
kemampanan mereka sejak PKP mula diperkenalkan sejak Mac 2020 lagi

 

“Kami sedar akan kesan sekatan pergerakan yang berterusan ke atas perniagaan pelanggan kami, terutama MPKS. 

 

"Keutamaan kami kekal untuk mengurangkan kekangan kewangan pelanggan, terutama sektor yang tidak dapat beroperasi sepanjang PKP," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Selain Bantuan Bayaran Balik Bersasar (TRA), Bank Islam turut menawarkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) untuk pelanggan yang terlibat dalam sektor perkhidmatan dan Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) bagi pelanggan dalam sektor pelancongan. 

 

Mohd. Muazzam menyifatkan langkah signifikan diambil Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan TRA bagi membantu pelanggan dalam segmen terjejas adalah penting bagi meminimumkan kesan berikutan arahan sekatan
pergerakan dan menjamin kebolehsampaian bantuan yang diperlukan kepada mereka. 

 

"Melalui bantuan moratorium, pelanggan terkesan akan mempunyai tempoh enam bulan untuk memulihkan keadaan kewangan masing-masing,” tambahnya.

 

Bank Islam menyeru pelanggan yang memerlukan bantuan untuk menghubungi pihak bank dan memaklumkan pilihan bantuan bayaran yang diperlukan. 

 

"Kami memberi jaminan bahawa tiada dokumen diperlukan bagi pelanggan individu dan semua permohonan akan diberi kelulusan automatik sebaik sahaja diterima," jelas beliau. 

 

Bank Islam turut meyakinkan pelanggan bahawa rekod CCRIS mereka tidak akan terjejas sekiranya mereka memilih untuk mengambil bantuan bayaran balik yang disediakan. - DagangNews.com