Bank Islam ubah waktu operasi sepanjang PKPB | DagangNews Skip to main content

Bank Islam ubah waktu operasi sepanjang PKPB

BANK ISLAM

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Susulan pelaksanaan semula Printah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah dan Lembah Klang, Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) mengambil keputusan untuk mengubah waktu pengoperasiannya di kawasan berkenaan.

Perubahan waktu operasi Bank Islam melibatkan sebanyak 46 cawangan iaitu 31 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, manakala 15 cawangan lagi adalah di negeri Sabah.

31 cawangan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berada di kawasan zon hijau atau kuning akan beroperasi dari 10 pagi hingga 3 petang.

Sementara 15 cawangan di kawasan zon merah di Sabah pula hanya akan beroperasi bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Muazzam Mohamed dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut adalah memastikan keselamatan pelanggan dan kakitangan selain terus komited untuk mematuhi langkah-langkah bagi mengekang penularan pandemik.

“Kami menggalakkan pelanggan untuk menggunakan platform perkhidmatan perbankan digital termasuk aplikasi mudah alih ‘GO by Bank Islam’, platform perbankan internet Bank Islam di https://www.bankislam.biz atau terminal-terminal layan diri.

"Perkhidmatan ‘E-banker’ Bank Islam juga disediakan untuk memudahkan urus niaga perbankan perniagaan.

"Pelanggan juga boleh melayari laman web Bank Islam di pautan www.bankislam.com atau menghubungi Bank Islam di 03-26900900. 

PKPB di Lembah Klang dilaksanakan semula bermula 14 hingga 27 Oktober 2020, manakala PKPB di seluruh negeri Sabah dijalankan bermula 13 hingga 26 Oktober 2020.

Kawalan tersebut dijalankan selepas mengambil kira peningkatan kes dan penularan yang berlaku di kawasan berkenaan.- DagangNews.com