Bank terus catat untung, penganalisis kekal saranan 'overweight' | DagangNews Skip to main content

Bank terus catat untung, penganalisis kekal saranan 'overweight'

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 8 Sept. - Bank-bank masih berada dalam kedudukan selesa meskipun berdepan cabaran pandemik COVID-19 apabila merekodkan prestasi yang baik pada suku kedua 2021. 

 

Ini berdasarkan kepada data yang dikumpul firma-firma penyelidikan membabitkan bank di bawah liputan mereka, dengan kebanyakannya memenuhi sasaran unjuran yang dibuat penganalisis.

 

Pada suku berkenaan, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mendapati 5 daripada 8 bank di bawah liputannya melaporkan keuntungan seperti diramalkan iaitu Affin Bank, AMMB Holdings Bhd., Malayan Banking Bhd. (Maybank), Public Bank Bhd. dan RHB Bank Bhd. 

 

Sebaliknya, 2 bank pula melebihi jangkaannya iaitu CIMB Group Holdings Bhd dan Alliance Bank Malaysia Bhd. manakala BIMB Holdings Bhd. pula di bawah sasaran.  

 

Bagaimanapun, penganalisisnya, Chan Jit Hoong berkata, pendapatan pada suku kedua itu menyusut 3% disebabkan pendapatan bukan faedah (NOII) yang lemah jatuh 19%. 

 

Katanya, keadaan ini berlaku terhadap bank berwajaran tinggi seperti Maybank, Public Bank dan CIMB. 

 

"Namun, margin faedah bersih (NIM) yang berkembang 2 mata asas dan peruntukan kerugian pinjaman yang rendah (-17%) dapat membantu mengimbangi keseluruhan impak ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Secara keseluruhan, suku kedua menyaksikan keuntungan sektor perbankan meningkat 29% tahun ke tahun tetapi menyusut 3% suku ke suku. 

 

Jit Hoong menjangkakan pemulihan sektor ini akan berterusan bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 dengan menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 3 tahun pada 15.2% berbanding sebelum itu, 14.9%.

 

"Kami juga menjangkakan NIM akan mengalami sedikit tekanan berikutan persaingan deposit dan juga skop yang terhad bagi pengembangan akaun semasa dan simpanan (CASA).

 

"Ini bermakna, pertumbuhan pinjaman akan bergerak perlahan-lahan seiring dengan pembukaan semula ekonomi di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN)," tambahnya. 

 

HLIB mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor perbankan memandangkan kegusaran terhadap pandemik COVID-19 akan hilang secara beransur-ansur menjelang 2022. 

 

Firma ini meletakkan harga sasaran pada RM9.40 terhadap Maybank diikuti Public Bank (RM4.50), RHB Bank (RM6.85), BIMB (RM4.80) dan Affin (RM2.15) dengan saranan 'beli' terhadap saham-saham perbankan ini.

 

Sementara itu, AmInvestment Bank Research dalam nota kajiannya mendapati pendapatan faedah bersih (NII) bagi tempoh 6 bulan pertama tahun ini membabitkan bank-bank di bawah liputannya adalah kukuh disokong NIM yang tinggi daripada pengoptimuman deposit dan penentuan semula harga selepas pengurangan kadar dasar semalaman (OPR). 

 

Ia juga mendapati NOII juga tinggi tahun ke tahun yang disokong oleh bank-bank bermodal besar iaitu Maybank, CIMB dan Public Bank pada suku pertama menerusi pendapatan pelaburan, dagangan dan pengurusan kekayaan.

 

Bagaimanapun, pendapatan pengurusan perbendaharaan dan kekayaan dari penjualan unit amanah adalah lebih pada suku kedua berbanding suku sebelumnya bagi bank-bank berkenaan. 

 

Firma itu mendapati, bank-bank di bawah liputannya juga kebanyakannya merekodkan pendapatan yang memenuhi sasaran iaitu Maybank, Public Bank, RHB Bank, Hong Leong Bank dan Alliance Bank. 

 

Pendapatan teras CIMB pula adalah lebih tinggi daripada jangkaan manakala BIMB di bawah anggaraan yang dibuatnya sebelum itu. 

 

Penganalisis AmInvestment, Kelvin Ong berkata, dari segi jumlah pinjaman dalam kalangan bank yang melaksanakan bantuan bayaran semula pada Julai dan awal Ogos di bawah Pemulih, Hong Leong Bank adalah paling rendah iaitu 20.8%, sebaliknya BIMB paling tinggi iaitu 33%. 

 

Katanya, ini berikutan daripada pembiayaan runcit yang tinggi dan peminjam memilih sama ada mengambil moratorium atau mengurangkan bayaran bulanan. 

 

"Bagaimanapun, menjelang hujung Ogos, permohonan untuk bantuan bayaran semula ini mula berkurangan.

 

"Malah, kerugian pengubahsuaian pada suku ketiga juga rendah berikutan tidak ramai yang mengambil moratorium kali ini berbanding moratorium secara 'blanket' pada tahun lalu," jelasnya. 

 

Ong menyemak semula pertumbuhan pendapatan teras bagi 2021 lebih rendah kepada 28.1% berbanding 30.8% sebelum itu selepas menyelaraskan anggaran NOII bagi bank bermodal besar. 

 

"Bagi 2022, kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan teras pada 11.7% disokong jumlah pendapatan yang tinggi dan peruntukan lebih rendah," tambahnya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor perbankan dengan meletakkan saranan 'beli' bagi saham RHB Bank dengan nilai saksama RM6.60 diikuti Maybank (RM9.90) dan CIMB (RM5.80). - DagangNews.com