Bantuan pinjaman pemulihan BNM kepada PKS dinaikkan RM2 bilion - PM | DagangNews Skip to main content

Bantuan pinjaman pemulihan BNM kepada PKS dinaikkan RM2 bilion - PM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Mac - Bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan pinjaman, Bank Negara Malaysia (BNM) telah meningkatkan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar sebanyak  RM2 bilion. 

 

Dalam masa sama, bantuan Fasiliti Automasi dan Digitalisasi ditingkatkan RM700 juta, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

“Dengan penambahan ini, kemudahan yang disediakan oleh BNM untuk manfaat PKS berjumlah RM6 bilion,” katanya ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) yang bernilai RM20 bilion hari ini.

 

Baca : PM umum 20 inisiatif di bawah Pemerkasa bernilai RM20 bilion

 

Di bawah MIDF, sebanyak RM200 juta disediakan untuk skim pembiayaan pembangunan automasi, digitalisasi dan penggunaan teknologi hijau, tambah Muhyiddin.

 

Katanya, MIDF juga telah bersetuju untuk mengurangkan kadar faedah pinjaman daripada 5% kepada 3% bagi tempoh 12 bulan, bermula 1 April 2021.

 

Di samping itu, dana tambahan sebanyak RM50 juta bagi Geran Automasi Pintar di bawah  Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut disediakan supaya lebih banyak PKS dan Syarikat Tahap Pertengahan, atau Mid-Tier Companies dapat meningkatkan kecekapan operasi dan pembuatan menerusi teknologi tinggi. 

 

Selain itu, jelas Muhyiddin, bagi menyokong Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), peruntukan berjumlah RM50 juta akan diberi kepada program Industry4WRD di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

 

“Bagi menggalakkan PKS meningkatkan automasi yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, SME Bank akan menyediakan dana pinjaman RM200 juta untuk membiayai pembelian mesin dengan insentif geran sehingga 20% ke atas nilai mesin,” tambahnya. - DagangNews.com