Bas MAN dengan enjin Euro V di pasaran tempatan mulai 2023 | DagangNews Skip to main content

Bas MAN dengan enjin Euro V di pasaran tempatan mulai 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Ogos - MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd (MAN Malaysia) sekali lagi mempamerkan keunggulan dan komitmennya terhadap kelestarian alam, kali ini dengan rangkaian casis bas. 

 

Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’ Brooks mengumumkan bahawa syarikat akan memperkenalkan enjin pelepasan rendah Euro V sebagai opsyen pada 2023 dalam usaha membantu syarikat bas mengurangkan jejak karbon. 

 

“Menjelang tahun depan, kami juga berharap mula menerima tempahan untuk casis elektrik (e-casis) MAN. Namun ia bergantung kepada infrastruktur pengecaj EV yang kami harap akan menjadi tumpuan utama kerajaan. 

 

"Ini adalah langkah penting yang diambil oleh MAN Malaysia dalam usaha kami untuk terus menawarkan opsyen mesra alam kepada industri pengangkutan. 

 

"Ia juga sejajar dengan usaha kami untuk memacu Malaysia ke arah status karbon neutral menjelang 2050. Pengenalan enjin Euro V dan e-casis pasti akan membezakan rangkaian produk bas MAN, yang memang dikenali dari segi kualiti, kebolehpercayaan, keserbabolehan dan fleksibiliti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

O’Brooks turut melahirkan keyakinan bahawa pengendali bas di Malaysia akan berpandangan jauh untuk menyertai usaha kemampanan seperti rakan mereka dalam sektor pengangkutan dan logistik yang tidak ragu-ragu memilih MAN Truck Generation Baharu dengan enjin Euro V untuk barisan kenderaan mereka. 

 

“Saya percaya, ramai daripada kalangan peserta industri akan melihat manfaat daripada pelaburan dalam casis bas yang lebih mampan, cekap penggunaan bahan api dengan pelepasan karbon rendah. 

 

 

MAN

 

 

MAN

 

 

"Disebabkan pengangkutan darat menjadi penyumbang utama kepada pelepasan karbon, kita semua seharusnya memainkan peranan dalam membantu mengurangkan jejak karbon industri di negara ini jika ingin mencapai status karbon neutral menjelang 2050,” katanya.

 

Di majlis tersebut, MAN Malaysia mengambil peluang untuk mengeratkan hubungan dengan pengendali bas dan berkongsi maklumat mengenai perkembangan global, selain berkongsi kejayaan MAN dalam membangunkan penyelesaian elektro-mobiliti bagi sektor pengangkutan awam seperti MAN Lion City E. 

 

 

MAN
Andrew O’ Brooks

 

 

man

 

 

MAN Lion City E yang telahpun memulakan perkhidmatan di beberapa bandar raya di Eropah juga berjaya membuktikan kemampuannya dalam perjalanan jarak jauh. 

 

Bas elektrik MAN ini berjaya menjelajah kira-kira 2,500 kilometer dari Munich di Jerman hingga ke Limerick di Ireland dalam Program Electrifying Europe Tour yang berlangsung daripada 29 April hingga 8 Mei 2022. 

 

Kejayaan ini membuktikan keupayaan dan kebolehpercayaannya yang luar biasa. - DagangNews.com