BAT Malaysia lantik rakyat Malaysia pertama sebagai Pengarah Kewangan | DagangNews Skip to main content

BAT Malaysia lantik rakyat Malaysia pertama sebagai Pengarah Kewangan

Anthony Yong Mun Seng

 

 

KUALA LUMPUR 2 Nov – British American Tobacco Malaysia Berhad mengumumkan pelantikan Anthony Yong Mun Seng sebagai Pengarah Kewangan baharu syarikat itu, menggambarkan komitmennya untuk membina pasukan pengurusan kanan dengan sekurang-kurangnya 70% rakyat Malaysia menjelang 2025.

 

Anthony akan mengambil alih jawatan itu daripada Ignacio Ballester yang akan mengambil alih jawatan di British American Tobacco plc (BAT plc Group).

 

Pengerusi BAT Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat berkata, Ignacio memainkan peranan utamam membangunkan perniagaan semasa tempoh mencabar, dengan kepimpinan komersial dan menyumbang kepada strategi yang menambah baik keputusan kewangan syarikat di seluruh metrik utama.

 

“Mewakili Lembaga Pengarah, kami mengucapkan terima kasih kepada Ignacio atas kepimpinan dan kejayaannya sepanjang menjadi Pengarah Kewangan,’’ kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Lembaga Pengarah juga kata Aseh, mengalu-alukan Anthony ke BAT Malaysia, yang memiliki pengalaman banyak dan kemahiran untuk memajukan syarikat.

 

‘’Pelantikan Anthony mengukuhkan komitmen kami untuk `Masa Hadapan Lebih Baik' (A Better Tomorrow), yang merangkumi mewujudkan tempat kerja dinamik yang pelbagai dan terangkum.

 

‘’Kami sukacita membawa kepada pasukan pengurusan kami seorang warga Malaysia pertama sebagai Pengarah Kewangan, dalam usaha kami membina pasukan pengurusan kanan majoriti rakyat Malaysia,’’ ujarnya.

 

Tan Sri Aseh Che Mat
                             ​​​​Tan Sri Aseh Che Mat

 

 

Sebelum ini, Anthony merupakan Pengawal Kewangan Korporat di British American Tobacco South East Asia sejak 2017. Beliau juga pernah menjadi Ketua Pegawai Kewangan dan jawatan kanan lain dengan tanggungjawab di dalam kewangan, strategi dan transformasi di seluruh Asia dan Eropah.

 

Anthony menyertai British American Tobacco Asia Pacific pada 2000 sebagai Pengurus Kewangan Serantau selepas lapan tahun bersama KPMG.

 

Beliau juga pernah menjadi Pengarah Kewangan BAT Bangladesh (2011-2014), Ketua Kewangan BAT Switzerland (2008-2011), Ketua Kewangan Pemasaran BAT Malaysia (2006-2008) dan Ketua Perancangan Korporat/Kewangan Korporat BAT Malaysia (2005-2006). – DagangNews.com