Bateriku.com, Emerald Auto berkolaborasi tawar produk Brembo dengan harga berpatutan | DagangNews Skip to main content

Bateriku.com, Emerald Auto berkolaborasi tawar produk Brembo dengan harga berpatutan

Azarol Faizi (dua dari kiri) dan Markz Lim (dua dari kanan)
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Bateriku (M) Sdn.Bhd. (Bateriku.com) telah berkolaborasi bersama Emerald Auto Sdn Bhd (Emerald-Brembo) bagi menawarkan produk pad brek asli Brembo di kesemua pitstop Bateriku.com terpilih.

 

Kolaborasi ini akan menyaksikan Bateriku.com yang merupakan pembekal khidmat 'Connected Roadside Assistance Provider' (CRAS) pilihan nombor satu negara untuk menawarkan produk pad brek terkemuka dunia Brembo kepada semua lapisan komuniti.

 

Melalui tagline "Every Car Deserves Brembo", produk yang ditawarkan melalui kolaborasi ini dimulakan dengan memberi fokus kepada kenderaan seperti Myvi, Proton, Perodua, Honda dan Toyota melalui ekosistem Bateriku.com yang kini telah menabur khidmat kepada hampir 1 juta pelanggan.

 

Pelanggan Bateriku.com, tidak kira lama atau baru akan ditawarkan pad brek Brembo yang berkualiti premium dengan harga yang mampu milik melalui pitstop terpilih Bateriku.com.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.com, Azarol Faizi, senario kerosakan kenderaan sepanjang 8 tahun sejak Bateriku.com ditubuhkan telah membuka pelbagai peluang bagi Bateriku.com untuk mengembangkan servis dan produk automotif yang bukan berpunca daripada masalah bateri. 

 

Beliau berkata, menerusi tagline ‘Beyond Batteries’, misi mereka sebagai CRAS adalah untuk sentiasa mencari produk dan servis automotif yang mampu dimanfaatkan oleh pemilik kenderaan, usahawan dan juga rakan-rakan bengkel.

 

"Reputasi Brembo dan prestasi produknya di peringkat automotif global, kami berbesar hati untuk berkolaborasi bersama pihak Emerald-Brembo yang merupakan pengedar rasmi Brembo di Malaysia. Melalui kolaborasi ini, InsyaAllah kami yakin dapat meningkatkan lagi keberadaan Bateriku.com di dalam segmen 'Vehicle Ownership Experience.’ 

 

"Dengan jumlah kenderaan yang semakin meningkat di Malaysia, Bateriku.com kini bukan sahaja menawarkan servis dan penukaran pengendalian bateri malah membekalkan juga produk dan servis automotif lain untuk dimanfaatkan oleh semua pengguna kenderaan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Mempunyai pengalaman lebih dari 40 tahun, Emerald-Brembo merupakan satu-satunya pengedar produk Brembo rasmi di Malaysia yang membekalkan pelbagai jenis variasi pad brek dan brek disk untuk kesemua jenis model kenderaan di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Emerald-Brembo, Markz Lim pula berkata, Emerald berbangga dengan kolaborasi bersama Bateriku.com kerana mereka percaya bahawa kolaborasi ini akan dapat membina ekosistem lebih baik bagi memberi kemudahan kepada pelanggan. 

 

"Sebagai pengedar rasmi produk Brembo yang merupakan brek sistem bertaraf dunia dari Itali, Emerald yakin bahawa dengan Pitstop Bateriku.com, BHero dan BPreneur Bateriku.com di seluruh Malaysia akan dapat memudahkan semua pengguna kenderaan untuk mendapatkan produk Brembo asli berkualiti tinggi dengan harga berpatutan.

 

"Kami teruja dengan kolaborasi bersama Bateriku.com kerana percaya bahawa dengan kerjasama ini, kami akan dapat merealisasikan kenyataan 'Everybody Deserves A Brembo' kepada semua pemilik kenderaan,” katanya. - DagangNews.com