Batik Air lebarkan sayap ke Korea Selatan dan Maldives bermula 23 Jun 2023 | DagangNews Skip to main content

Batik Air lebarkan sayap ke Korea Selatan dan Maldives bermula 23 Jun 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mac - Batik Air menambah penerbangan tanpa henti ke dua destinasi popular Incheon di Korea Selatan dan Male, Maldives bermula 23 Jun 2023.

 

Menurut syarikat itu, penerbangan terus ke Male akan beroperasi tiga kali seminggu manakala tujuh penerbangan tambahan dikendalikan melalui Colombo, Sri Lanka.

 

Sementara itu, penerbangan terus ke Incheon akan dikendalikan setiap hari.

 

Syarikat itu turut mengumumkan penyambungan semula operasi penerbangan Colombo dan Hanoi, Vietnam yang akan bermula masing-masing pada 12 dan 26 Mei 2023.

 

 

airplane

 

 

Batik Air menawarkan tambang promosi termasuk bagasi Kelas Ekonomi sehala serendah RM 299 ke Hanoi, RM669 (Colombo dan Male) dan RM 799 (Seoul) manakala makanan disediakan secara pra-pembelian dan dijual dalam penerbangan.

 

Perkhidmatan penerbangan baharu ini akan menggunakan pesawat Boeing 737 MAX 8 baharu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Mushafiz Mustafa Bakri berkata syarikat tersebut akan terus mengembangkan jadual dan rangkaian dengan memasukkan destinasi baharu dan menyambung semula perjalanan sedia ada untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.

 

“Laluan baharu itu akan menyediakan satu lagi pilihan tambahan kepada penumpang untuk perniagaan dan percutian melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

Mushafiz Mustafa Bakri
Mushafiz Mustafa Bakri

 

 

Batik Air merupakan syarikat penerbangan berpangkalan di Malaysia dengan hab utama di KLIA dan Subang Skypark.

 

Syarikat penerbangan itu memulakan operasi penerbangan pada Mac 2013 dengan penerbangan domestik di Malaysia dan sejak itu telah berkembang mengendalikan perjalanan ke semua lapangan terbang utama di seluruh benua Asia dan Australia.

 

Hari ini, Batik Air mengendalikan 750 penerbangan setiap minggu merentasi rangkaian yang terus berkembang kira-kira 40 destinasi di rantau ini. -DagangNews.com