KUALA LUMPUR 20 Sept - Battersea Power Station, yang dimiliki oleh konsortium syarikat-syarikat Malaysia terdiri daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB), Sime Darby Property, S P Setia Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meraikan ulang tahun pertama sejak dibuka kepada orang ramai dengan menganjurkan festival 'Behind The Bricks' bermula 21 hingga 29 Oktober ini.
Festival selama sembilan hari membolehkan pengunjung meneroka dengan lebih lanjut mercu tanda London yang kaya dengan warisan dan transformasi destinasi baharu di tepian sungai.
Dalam satu kenyataan, Battersea Power Station berkata, 'Behind The Bricks' membolehkan pengunjung menikmati pelbagai aktiviti bertema yang menyeronokkan yang mengambil inspirasi dari 1930-an hingga 1950-an, dekad di mana dua bahagian Battersea Power Station siap dibina termasuk salun rambut dan kecantikan era 1950-an di Turbine Hall B.
Lawatan rasmi Battersea Power Station juga akan dilancarkan ketika festival berkenaan untuk memberi peluang kepada pengunjung mengetahui tentang sejarah bangunan ikon yang tersenarai Gred II.
"Lawatan ini juga akan merangkumi akses khas ke Art Deco yang dipulihkan dengan menarik, Control Room A buat kali pertamanya.
"Karya seni bina menakjubkan ini pernah satu ketika dulu menyalurkan kuasa ke kediaman di seluruh London termasuk Istana Buckingham dan Dewan Parlimen," katanya.
Selain itu, pengunjung boleh mengikuti peta jejak warisan percuma dan melihat peralatan bersejarah bahagian dalam dan luaran Power Station yang berkeluasan 2.43 hektar.
Festival Behind The Bricks juga menampilkan muzik secara langsung dengan lagu hits klasik dari 1930-an dan 1950-an termasuk persembahan daripada Koir Komuniti Battersea Power Station yang akan mempersembahkan lagu medley Beatles daripada filem 'Help!', di mana stesen janakuasa itu terbabit dalam adegan filem berkenaan.
Antara aktiviti lain yang dianjurkan semasa festival berkenaan termasuk perbincangan panel pakar yang akan berkongsi cerita di balik mercu tanda; pameran bersejarah; aktiviti untuk kanak-kanak; sesi bercerita Battersea Bookshop; dan pameran botol Champagne berketinggian 10 kaki Searcys Shillings.
Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development Company (BPSDC), Simon Murphy, berkata ulang tahun pertama adalah peristiwa penting untuk diraikan.
"Ulang tahun ini juga mewakili 40 tahun sejak bangunan tersenarai Gred II dilucutkan tauliahnya, mencerminkan cabaran besar yang dihadapi untuk menyelamatkan dan memulihkan mercu tanda London ini. Ia bagaimanapun dijayakan berkat keazaman, komitmen dan sokongan pemegang taruh kami.
"Kami tidak sabar untuk memberi penghormatan kepada Power Station yang kaya dengan sejarah menerusi siri aktiviti dan acara bertema untuk dinikmati semua semasa Behind the Bricks untuk menandakan detik kejayaan ini," katanya. - DagangNews.com