Bawa 13 saluran baharu, mampukah 'pikat' pelanggan Astro? | DagangNews Skip to main content

Bawa 13 saluran baharu, mampukah 'pikat' pelanggan Astro?

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. - Dalam usaha menarik semula para pelanggannya, Astro Malaysia Holdings Bhd. membawakan 13 saluran televisyen baharu antarabangsa bagi menggantikan 11 saluran The Walt Disney Co yang akan menghentikan siaran akhir bulan ini. 

 

Namun, sejauh mana langkah ini mampu mengekalkan pelanggannya? Menurut CGS-CIMB, secara dasarnya ia dilihat seolah-olah syarikat televisyen berbayar ini berusaha untuk mengelakkan pelanggannya berhenti membuat langganan. 

 

"Tetapi, kami juga berpendapat studio Hollywood cuba melakukan segala-galanya bagi meningkatkan penawaran kandungan Astro," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Kebanyakan saluran baharu itu sudah ke udara baru-baru ini manakala selebihnya akan disiarkan pada Oktober. 

 

Saluran baharu ini akan menggantikan 11 saluran Walt Disney dan Fox Networks Group Asia Pacific selepas 30 September ini sebagai sebahagian daripada usaha media gergasi ini untuk mengurangkan penyiaran dalam pasaran antarabangsa. 

 

Sebanyak 3 daripada 4 saluran dalaman akan datang iaitu Astro SuperSport 5, Showcase Movies dan PRIMEtime
akan mengambil alih program rancangan milik Disney dan pihak ketiga yang kini ditayangkan di Fox Networks. 

 

Astro sebelum ini menyatakan perubahan yang dilaksanakan membabitkan saluran televisyen dan tambahan 15 perkhidmatan video-on-demand (SVOD) berasaskan langganan menjelang akhir tahun kewangan 2021/2023 tidak akan memberi kesan kepada nisbah perolehan kandungan kumpulan kepada televisyen melebihi paras siling 34 hingga 37%. 

 

Selama ini Astro mendapat lebih banyak siaran yang berbaloi pada harga rendah dari studio Hollywood memandangkan kos kandungannya kekal stabil sejak penyenaraian semula pada Oktober 2012.

 

"Dalam hal ini, syarikat media gergasi antarabangsa yang lebih banyak berdepan kerugian jika cetak rompak semakin meningkatkan penstriman mereka di Asia.

 

"Keterujaan terhadap pasaran penstriman video dan langganan semakin menurun di Amerika Syarikat (AS), kerana ia terus berdepan dengan kos pengeluaran tinggi bagi memenuhi permintaan pelanggan terhadap kandungan," jelas CGS-CIMB.

 

Namun, firma itu juga percaya, keputusan Astro untuk menambah saluran berbanding mengambil peluang mengurangkan kos kandungan kerana masih ada pelanggan yang gemar menonton apa sahaja di televisyen berbanding memilih apa yang mereka mahu. 

 

"Inilah sebabnya mengapa Netflix mencuba saluran linear di Perancis," tambahnya. 

 

CGS-CIMB bagaimanapun mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham Astro dengan harga sasaran pada RM1.51. 

 

"Pada pandangan kami, dengan integrasi penstriman dan disokong media gergasi antarabangsa terhadap cetak rompak, kami berharap pendapatannya akan meningkat," katanya. - DagangNews.com