KUALA LUMPUR 12 Dis - Kerajaan baharu dijangka menjalankan semula proses tender bagi beberapa projek infrastruktur awam dan melancarkan projek baharu selepas melengkapkan semakan ke atas beberapa kontrak terdahulu yang dianggap tidak mematuhi proses perolehan, demikian menurut Kenanga Research.
Penganalisisnya, Lum Joe Shen berkata, sebagai contoh, ialah projek tebatan banjir bernilai RM15 bilion yang didakwa diberikan melalui rundingan terus.
"Namun, bagi projek yang sedang berjalan seperti lebuh raya Pan Borneo, Sabah-Sarawak Link Road (SSLR), Central Spine Road (CSR) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kerajaan dijangka meneruskan seperti yang dirancang sebelum ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan kerana ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus yang diluluskan sebelum ini.
Melalui Bajet 2023 yang dibentangkan 7 Oktober lalu di bawah kerajaan terdahulu, sebanyak RM15 bilion diperuntukkan bagi Rancangan Tebatan Banjir sehingga 2030 sebagai strategi jangka panjang dalam usaha beradaptasi dengan perubahan iklim di seluruh negara.
Sebahagian besar projek akan dianugerahkan pada tahun depan dengan anggaran perbelanjaan berjumlah RM700 juta.
Antara projek utama yang digerakkan termasuklah, pelaksanaan projek empangan Sabo bernilai RM562 juta di 46 lokasi seluruh negara bagi mengurangkan risiko banjir puing dan banjir lumpur seperti tragedi banjir di Baling, Kedah.
Bagaimanapun, secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor pembinaan dengan pilihan utamanya ialah Gamuda Bhd.
Joe Shen berkata, dari segi operasi, sektor pembinaan telah mencatatkan prestasi terburuk pada 2022 dan harus bersedia untuk persekitaran operasi yang lebih baik pada 2023 ekoran kemasukan semula pekerja asing secara beransur-ansur dan harga bahan binaan yang semakin rendah.
Menurutnya, sektor itu juga akan terus mendapat manfaat daripada pelancaran projek infrastruktur awam diterajui projek Transit Aliran Massa (MRT3) secara besar-besaran bernilai RM50.2 bilion, apabila kerajaan baharu mula bekerja.
"Kami percaya terdapat pandangan yang kukuh bagi kerajaan untuk memulakan suntikan kitaran fiskal bagi melindungi ekonomi daripada kelembapan luaran dengan projek berimpak tinggi seperti MRT3," jelasnya.
Malah, katanya, sektor swasta juga menawarkan peluang yang luas kepada syarikat kontraktor tempatan antaranya pelaburan dalam faundri semikonduktor dan pusat data oleh syarikat multinasional di Malaysia.
Ini kerana katanya, syarikat-syarikat MNC mula mempelbagaikan pengkalan pembuatan mereka (daripada China) bagi mengelakkan risiko.
"Kontrak ini secara amnya memperoleh margin yang lebih baik daripada pembinaan bangunan secara konvensional kerana ia adalah landasan yang pantas dan secara teknikal lebih menggalakkan," katanya. - DagangNews.com