Bekas CEO TM, Dr Md Khir Abdul Rahman dilantik anggotai Lembaga Pengarah Reneuco | DagangNews Skip to main content

Bekas CEO TM, Dr Md Khir Abdul Rahman dilantik anggotai Lembaga Pengarah Reneuco

KUALA LUMPUR 19 Sept - Bekas ketua pegawai eksekutif Telekom Malaysia Bhd (TM), Datuk Dr Md Khir Abdul Rahman dilantik sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif di syarikat pembekal tenaga dan utiliti lestari Reneuco Bhd (dahulunya KPower Bhd).

 

Md Khir, 76, sebelum ini merupakan CEO TM dari 2000 hingga 2004. Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai pengarah urusan Kumpulan Mejati Technologies pada 1996 dan pernah menjadi pengurus besar merangkap pengarah Sistem Pembayaran Elektronik Malaysia (MEPS).

 

Beliau memulakan kerjayanya dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) pada 1972, sebelum menyertai Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1983.


“Beliau mempunyai pengalaman mendalam dalam teknologi maklumat dan komunikasi, perbankan dan sistem pembayaran serta dalam industri perkhidmatan semikonduktor,” kata Reneuco dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Sementara itu, Reneuco juga telah melantik Tunku Datuk Nooruddin Tunku Datuk Seri Shahabuddin sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutifnya.


 

Tunku Datuk Nooruddin Tunku Datuk Seri Shahabuddin
Tunku Datuk Nooruddin Tunku Datuk Seri Shahabuddin

 


Nooruddin, 59, pada Mac tahun ini meletak jawatan sebagai pengarah eksekutif syarikat minyak dan gas (O&G) Reach Energy Bhd tujuh tahun selepas menyertai lembaga itu.

 

“Nooruddin mempunyai latar belakang yang luas dalam industri O&G, tenaga termasuk Esso Malaysia Bhd (ExxonMobil), di mana beliau menguruskan pengedaran produk penapisan dan akaun negara kerajaan dengan berkesan.

 

“Beliau merupakan ED Reach Energy dan Baker Hughes Inteq (M) Sdn Bhd dan anak syarikat lain Baker Hughes Group of Companies di Malaysia yang terlibat dalam aktiviti penerokaan dan pembangunan O&G huluan,” katanya.

 

Beliau kini adalah pro-canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa) Terengganu dan naib presiden Majlis Datuk Dato Malaysia (MDDM). - DagangNews.com