Bekas eksekutif atasan Petronas ganti Shahril, terajui Sapura Energy | DagangNews Skip to main content

Bekas eksekutif atasan Petronas ganti Shahril, terajui Sapura Energy

Mohd Anuar Taib
 

KUALA LUMPUR 23 Mac - Sapura Energy Berhad mengumumkan bahawa Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya, Tan Sri Shahril Shamsuddin meletakkan jawatan tersebut setelah mencapai usia persaraan, 60 tahun, semalam.

 

Jelas kumpulan syarikat itu, jawatan berkenaan akan diambil alih oleh bekas Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif huluan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Datuk Mohd Anuar Taib bermula hari ini.

 

Pengerusi Sapura Energy, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas berkata, kepimpinan Shahril membolehkan Sapura Energy berkembang daripada pemain berfokuskan domestik kepada syarikat tenaga terkenal yang berkhidmat di seluruh rantaian nilai huluan.

 

“Bagi pihak lembaga pengarah, kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Shahril, di mana visi dan kesungguhannya mengangkat Sapura Energy menjadi sebuah syarikat multinasional Malaysia, berupaya untuk bersaing dan menang di peringkat antarabangsa,” katanya dalam sebuah kenyataan.

 

Jelasnya, Shahril mengasaskan Sapura Energy sekitar tahun 90-an, membangunkan kumpulan syarikat itu sejak awal sebagai kontraktor menyelam sehingga menjadi sebuah syarikat tenaga bersepadu global.

 

Rancangan bagi peralihan jawatan di Sapura Energy itu telah diumumkan pada tahun lalu, lebih awal sebelum Shahril mencapai umur persaraan, 60 tahun, pada 22 Mac 2021 (semalam).

 

Shahril Shamsuddin
Shahril Shamsuddin

 

Legasinya merangkumi pelbagai kemampuan teknikal dan aset strategik Sapura Energy dalam penggerudian, kejuruteraan dan pembinaan, penerokaan dan pengeluaran, dan baru-baru ini, pembinaan ladang angin lepas pantai.

 

Tambah kenyataan itu, Sapura Energy telah menyumbang sekitar RM89 bilion kepada ekonomi Malaysia selama lima tahun lalu, dengan lebih daripada RM15 bilion kerja diberikan kepada vendor Malaysia.

 

Sepanjang tiga tahun lalu, Sapura Energy memindah pulang (repatriate) lebih daripada AS$2 bilion dalam mata wang asing.

 

Sementara itu, Shahril berkata, syarikat itu menyaksikan perolehan yang menguntungkan pada tahun 2020 walaupun terdapat persekitaran yang mencabar untuk industri berkenaan dan naratif yang salah mengenai pasaran tidak stabil.

 

“Permodalan Nasional Berhad (PNB) memegang saham terbesar dalam Sapura Energy, yang bermaksud pemilik utama kami adalah 14 juta pemegang saham dalam pelaburan. Ini adalah rakyat Malaysia biasa yang telah memberikan kepercayaan simpanan mereka kepada PNB.

 

“Kami memiliki kewajiban besar, amanah untuk melindungi dan meningkatkan nilai pelaburan mereka,” katanya.

 

Beliau percaya Anuar sangat komited untuk memperdalam dan memperkukuhkan kedudukan kumpulan itu sebagai syarikat teknologi tenaga bertaraf dunia dalam industri berkenaan.

 

Katanya, Anuar memiliki pengalaman, berkaliber dan cermat untuk membawa Sapura Energy ke dalam fasa perjalanan seterusnya. 

 

“Ini memberikan saya keselesaan besar, mengetahui bahawa beliau telah diterima dengan baik oleh organisasi, dan beliau telah berjaya,” katanya lagi.

 

Untuk rekod, Anuar telah menyertai Sapura Energy sebagai pengarah bebas pada Ogos 2020 dan seterusnya dilantik sebagai ketua pegawai operasi dan dinamakan sebagai ketua pegawai eksekutif pada Oktober tahun lalu. - DagangNews.com