BELANJAWAN 2021 : Perbelanjaan propaganda bukan satu keutamaan - IDEAS | DagangNews Skip to main content

BELANJAWAN 2021 : Perbelanjaan propaganda bukan satu keutamaan - IDEAS

 

 

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyifatkan Belanjawan 2021 masih samar dalam memacu pembangunan negara menghadapi norma baharu pasca wabak COVID-19 walaupun melibatkan perbelanjaan yang besar sebanyak RM322.5 bilion. 
 
Malah, badan itu turut memberi amaran mengenai anggaran kutipan hasil kerajaan yang optimistik dan berdasarkan kepada andaian bahawa keadaan ekonomi dan wabak ini akan mengalami pemulihan yang pantas pada 2021, masih lagi tidak dapat dijangka. 

"Kami sedar akan cabaran yang dihadapi oleh kerajaan dalam menangani krisis ekonomi dan kesihatan awam ini, dan keperluan untuk mengadakan satu peruntukan belanjawan demi melindungi pendapatan dan pekerjaan, serta mempromosi latihan dan pemahiran semula," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, Belanjawan 2021 kekurangan satu arah dasar yang jelas dan kukuh  untuk memacu aktiviti-aktiviti swasta dalam usaha memperkasakan semula ekonomi.

"Ini merupakan satu peluang keemasan kepada pihak kerajaan dalam belanjawan sulung dan dokumen dasar penting yang pertama tahun ini, untuk membentangkan satu pendekatan yang berani yang akan memberi isyarat kepada industri dan rakyat arah masa hadapan yang jelas," katanya.

IDEAS menyeru pihak kerajaan serta semua Ahli Parlimen untuk mencapai konsensus dan menunjukkan kepimpinan dasar mengenai apa yang diperlukan untuk mencipta semula dan memposisikan Malaysia demi pertumbuhan pada norma baharu pasca wabak COVID-19. 

Berikut adalah kenyataan penuh IDEAS :

 

Pengeluaran Akaun 1 KWSP melemahkan jaminan kewangan individu dan keluarga

Pengumuman untuk membenarkan pengeluaran dari Akaun 1 KWSP menimbulkan kebimbangan ke atas jaminan kewangan ahli KWSP dan keluarga mereka. Kira-kira 70% ahli KWSP berusia 55 hingga 60 tahun, ketika persaraan memilih untuk membuat pengeluaran sekaligus, dan separuh daripada mereka kehabisan simpanan dalam masa hanya lima tahun.

Walaupun pengeluaran dapat membantu menampung sumber pendapatan dalam jangka masa pendek, kami juga ingin memberi peringatan keras terhadap pelaksanaan langkah ini kerana mengambil kira jaminan kewangan pada jangka masa yang lebih panjang dan memilih bentuk bantuan kewangan yang lain serta program pemahiran semula (reskilling) yang diumumkan dalam Belanjawan.  

 

Perlindungan kumpulan rentan dan sokongan kepada kesihatan mental serta pencegahan penyalahgunaan bahan dan keganasan satu langkah ke arah yang betul

Kami menghargai peruntukan kerajaan terhadap perlindungan ke atas kumpulan-kumpulan rentan melalui pelbagai program bantuan kewangan dan juga sokongan kewangan ke atas kesihatan mental serta pencegahan penyalahgunaan bahan dan keganasan.

Kesan wabak COVID-19 yang tidak pernah berlaku terhadap kesihatan awam dan ekonomi telah mengganggu mata pencarian ramai individu dan isi rumah. Dari segi sejarahnya, kadar pengangguran dan penutupan perniagaan yang tinggi dijangka akan memberi kesan terhadap kesejahteraan mental ramai orang.

Oleh itu, peruntukan kerajaan untuk menyediakan bantuan kewangan bersasar dan menangani kesejahteraan mental amat digalakkan. 

 

Promosi teknologi tinggi dan aktiviti inovatif akan mencipta dorongan baharu terhadap pertumbuhan tetapi kurang agenda yang jelas untuk membina ketahanan PKS

Kami mengiktiraf penekanan yang diberikan dalam Belanjawan 2021 untuk menarik teknologi tinggi dan aktiviti-aktiviti bernilai tambah yang tinggi sebagai satu cara untuk memastikan daya saing Malaysia dalam rantaian nilai dunia.

Hal ini penting untuk bukan sahaja mencipta kesan pengganda untuk menghidupkan semula aktiviti ekonomi domestik malah menyokong peralihan Malaysia kepada status negara berpendapatan tinggi.

Walaupun peruntukan terus diberikan demi memacu pendigitalan PKS namun Belanjawan 2021 kekurangan satu agenda dasar atau arah yang jelas untuk membina ketahanan PKS seperti peningkatan kapasiti PKS untuk berinovasi, menambah baik jalinan serta perpindahan teknologi antara PKS dan syarikat multinasional, dan satu pendekatan baharu ke arah keselamatan sosial demi menepati perubahan kepada keperluan ekonomi digital.

 

Komitmen untuk melaksanakan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dialu-alukan dan penting untuk melestarikan pemulihan dalam jangka masa panjang

Kami mengalu-alukan komitmen Menteri Kewangan untuk melaksanakan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan menumpukan sumber manusia yang diperlukan untuk mengukuhkan tadbir urus dan integriti di Malaysia.

Pembaharuan yang digariskan dalam NACP ini termasuk memperbaharui perolehan awam, pendanaan politik, dan pembaharuan syarikat milik kerajaan (GLC) merupakan langkah-langkah penting dalam memastikan Malaysia mempunyai asas berinstitusi untuk ekonomi yang makmur serta masyarakat yang bebas. Kami menantikan rangka masa yang dikemaskini dan lebih terperinci untuk pelaksanaannya. 

 

Langkah-langkah untuk menyokong perniagaan yang paling terdedah adalah wajar tetapi fokus yang lebih besar perlu diberikan kepada penyesuaian

Wabak ini telah mencetuskan satu krisis yang telah pernah berlaku yang memerlukan satu tindak balas yang tidak pernah dilakukan, termasuk sokongan kepada perniagaan yang paling terdedah.

Namun, gangguan akibat wabak ini kemungkinan akan berterusan dan beberapa perubahan akan berkekalan. Beberapa sektor seperti pelancongan, sudah bergelut sebelum krisis ini dan memerlukan pembaharuan.

Langkah untuk menyokong perniagaan perlu digandingkan dengan pembaharuan untuk memastikan syarikat-syarikat boleh melakukan penyesuaian dan berinovasi dalam jangka masa panjang.

Dalam hal pelancongan, sokongan kewangan bersasar perlu digandingkan dengan pembaharuan pengawalseliaan terhadap peraturan pelancongan lapuk serta menyokong pendigitalan. 

 

Perbelanjaan untuk propaganda bukan satu keutamaan pada masa ini

Malaysia sedang menghadapi krisis ekonomi dan kesihatan yang teruk, dan kami tidak dapat melihat kewajaran terhadap pelaburan sebesar RM85.5 juta dalam Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebagai sebahagian dari Belanjawan 2021.

JASA merupakan jabatan yang digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini untuk kempen-kempen pesanan awam, kini dihidupkan semula dengan skala dan belanjawan yang lebih besar. Belanjawan 2021 untuk JASA kini hampir tiga kali ganda berbanding jumlah yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2018 iaitu sebanyak RM30 juta. 

 

Langkah-langkah untuk kelestarian tidak memadai dengan skala cabaran yang dihadapi

Pihak kerajaan meletakkan tahap jangkaan yang tinggi bahawa Belanjawan 2021 akan meletakkan kelestarian sebagai teras kepada pemulihan.

Pada ketika sisipan bahasa yang tegas terhadap kelestarian merupakan satu isyarat yang dialu-alukan, dasarnya pula mengecewakan.

Malaysia memerlukan satu tindakan yang berani demi mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan api fosil, pengurangan pelepasan bahan cemar, dan menetapkan kelestarian dalam ekonomi. Komitmen berikut tidak terzahir di dalam dokumen ini. 

 

Peranan organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam pelaksanaan perkhidmatan awam boleh diperluaskan untuk merangkumi perundingan dasar dan pengawasan  

Secara umum kami menglau-alukan inisiatif kerajaan untuk melibatkan NGO dan masyarakat sivil dalam menyokong pelaksanaan perkhidmatan awam melalui perusahaan sosial dan program sukarelawan.

Namun, kami percaya peranan NGO dan masyarakat sivil dapat diperluaskan lagi dengan merangkumi perundingan dasar secara tetap dan formal serta pengawasan.

Hal ini untuk memastikan kelompongan dasar dan cabaran yang dikesan di lapangan dapat dikaji, dianalisis, disampaikan, dan diambil tindakan dengan berkesan dalam proses-prosem pembuatan dasar.

Kerjasama sebegini dengan organisasi penyelidikan bebas serta badan pemikir juga perlu distrukturkan dengan satu cara yang lestari dan berjangka panjang, berbanding perundingan secara ad-hoc yang mempunyai keterbatasan.  

 

GLC berisiko menjadi “terlalu besar untuk gagal” jika objektif sosial tidak dibuktikan dengan rasional ekonomi

Skala gangguan terhadap ekonomi yang tidak pernah berlaku ini memerlukan tindakan secara kolektif oleh kedua-dua sektor awam dan swasta.

Namun, kami menimbulkan kebimbangan atas kebolehlaksanaan beberapa langkah belanjawan yang memerlukan GLC. Sebagai contoh, di bawah Short Term Employment Programme (MyStep), GLC dijangka untuk menyediakan 15 ribu peluang pekerjaan berkontrak dalam sektor kewangan dan teknikal, terutamanya graduan.

Ketika kadar pengangguran terutamanya dalam kalangan belia amat membimbangkan, keputusan mengambil kerja harus berdasarkan gabungan kelayakan dan kemahiran serta jangkaan permintaan hasil kerja.

Tindakan menyerap kos mengambil bekerja dan menjadi tidak efisien ini akan menyebabkan GLC berisiko menghadapi cabaran kewangan dalam jangka masa panjang dan kemungkinan memerlukan sokongan kerajaan.  - DagangNews.com