KUALA LUMPUR 22 Okt. - Deloitte Malaysia menjangkakan kerajaan akan melanjutkan Kempen Pemilikan Hartanah (HOC) di bawah Belanjawan 2022 bagi merangsang pasaran hartanah di negara ini yang terjejas akibat COVID-19.
Kempen tersebut yang sepatutnya berakhir 31 Disember ini bermula pada Januari 2019 sebagai antara langkah kerajaan bagi mengatasi masalah lebihan bekalan di negara ini yang berlangsung selama 6 bulan sebelum kemudiannya dilanjutkan sepanjang tahun.
Berdasarkan kejayaannya menjana jualan sehingga RM23.2 bilion pada 2019, melepasi sasaran awal sebanyak RM17 bilion, kerajaan memperkenalkan semula kempen ini pada Jun tahun lalu di bawah Penjana apabila sektor hartanah terjejas dengan penularan pandemik.
Bagaimanapun, menurut Deloitte, kempen berkenaan buat masa ini hanya tertumpu kepada hartanah baharu yang didaftarkan oleh pemaju tertentu.
"Oleh itu, kami melihat keperluan supaya kerajaan mempertimbangkan HOC ini untuk diperluaskan kepada pasaran sekunder, dan boleh menyediakan pelbagai pilihan kepada pembeli rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi pembeli yang berdepan kekangan untuk membayar semula pinjaman rumah, Deloitte mengesyorkan supaya diberikan pengecualian cukai pendapatan ke atas faedah terakru bagi pinjaman tersebut apabila tempoh moratorium berakhir.
"Untuk mereka yang dalam kategori B40 pula, kerajaan boleh mempertimbangkan pemberian insentif kepada industri kewangan untuk mengecualikan faedah terakru dengan menyediakan pengurangan cukai tambahan," jelasnya.
Sementara itu, dalam kenyataan mengenai jangkaan terhadap Belanjawan 2022 oleh pasukan pakar cukai Deloitte itu juga mendapati Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) akan meliputi semua cukai di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Ini termasuklah cukai jualan dan perkhidmatan (SST), cukai kastam dan eksais serta cukai pelancongan.
"SVDP adalah untuk cukai tidak langsung yang pertama, yang mana sebelum ini dijalankan terhadap cukai pendapatan sahaja," katanya.
Dalam Kenyataan Pra-Belanjawan 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Ogos lalu, antara cadangan kerajaan untuk meningkatkan hasil cukai termasuklah pelaksanaan SVDP bagi cukai tidak langsung.
Melalui program ini, pembayar cukai digalakkan tampil secara sukarela bagi mengikrarkan apa-apa cukai yang tidak dilaporkan, terkurang atau tersilap dilaporkan kepada JKDM.
"Kami percaya, ini adalah langkah yang baik oleh JKDM dan menggalakkan perniagaan untuk memanfaatkannya kerana aktiviti audit dijangka meningkat selepas tamat tempoh SVDP," jelasnya.
Dalam pada itu, Deloitte berharap kerajaan dapat mempertimbangan tambahan pengecualian cukai bagi perbelanjaan ketika pandemik seperti kit ujian kendiri COVID-19, PCR atau ujian antigen.
Selain itu, ia juga termasuklah kos membeli keperluan bekerja dari rumah atau pengecualian cukai sekali sebanyak RM2,000 yang pernah diperkenalkan pada Tahun Pentaksiran 2015.
"Kami berharap kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya untuk mengecualikan elaun atau faedah pekerja yang diterima, yang mana majikan memberi bantuan kewangan kepada pekerja atau anggota keluarga mereka berkaitan kos rawatan dan bekalan perubatan COVID-19 untuk tujuan pencegahan penularan wabak ini," katanya. - DagangNews.com