Gabar panorama Kuala Lumpur di waktu senja oleh CK Yeo
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Okt – Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan pada 29 Oktober dijangka memberi tumpuan menjamin kesejahteraan rakyat dan sokongan terhadap perniagaan demi menstabilkan prospek ekonomi negara, demikian menurut Ketua Ahli Ekonomi, Juwai IQI, Shan Saeed.
Setiap tahun, ketika pembentangan belanjawan tahunan, rakyat sentiasa mengharapkan berita baik bagi mereka.
“Pada pendapat saya, harga komoditi yang lebih tinggi dan produk elektrik dan elektronik (E&E) yang mantap membolehkan kerajaan memacu pelan strategik pada bahagian fiskal lembaran imbangan.
“Kami di Juwai IQI menjangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berlegar sekitar 4 hingga 5%.
‘’Defisit fiskal kekal dalam lingkungan 6 hingga 7%. Kadar diskaun harus mengekalkan status quo pada tahap semasa iaitu 1 hingga 1.75%, katanya kepada DagangNews.com.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang Belanjawan 2022 yang bakal dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen pada akhir bulan ini.
Sebelum ini, Tengku Zafrul dilaporkan berkata berdasarkan tiga fokus utama Belanjawan 2022 akan memacu pemulihan ekonomi membina semula daya tahan negara dan memangkin pembaharuan.
Dari segi dasar mesra perniagaan, Shan berkata kerajaan akan tetap membuka peluang perniagaan kepada komuniti antarabangsa dan rakan dagang di sebalik pandemik COVID-19.
Di samping itu, katanya, kerajaan pasti mengadakan pelbagai inisiatif untuk menarik para pelabur dalam dan luar negara.
Menurut Shan, kerajaan juga dijangka akan memberi tumpuan kepada industri utama termasuk pembuatan, teknologi, e-dagang, gas cecair asli (LNG), dan ICT (industri cip).
Menurutnya, FDI dijangka kekal melebihi RM50-100 bilion sementara jumlah perdagangan iaitu import eksport akan kekal lebih tinggi daripada RM1.3 trilion pada tahun fiskal akan datang.
“Cukai ke KDNK akan kekal di atas 10% pada tahun fiskal berikutnya dan prospek ekonomi secara keseluruhan kekal kukuh untuk tahun depan,” kata Shan yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam pasaran kewangan membabitkan perbankan swasta, pengurusan risiko/pematuhan, pelaburan komoditi, ekonomi global, jenama dan strategi perniagaan.
“Kadar inflasi akan kekal di bawah 2.5% pada tahap makro. Kami masih yakin dengan prospek ekonomi Malaysia yang dipercayai menjadi lebih kukuh tahun depan, “ ujar beliau.
Beliau meramalkan harga minyak mentah dunia akan berada sekitar AS$73 setong hingga AS$87 setong pada separuh kedua tahun 2021 (H2).
Katanya pertumbuhan sebenar membawa banyak kebaikan terhadap ekonomi negara pengeluar minyak termasuk Malaysia. - DagangNews.com