Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 Feb. - Dua firma penyelidikan, MIDF Research dan CGS-CIMB Research masing-masing membuat saranan ‘beli’ dan ‘tambah’ saham MISC Berhad.
Menurut MIDF Research, vaksin akan menjadi pemangkin untuk melonjakkan permintaan minyak mentah dan penggunaan tenaga yang sekali gus memberi manfaat kepada MISC.
“Walaupun permintaan minyak mentah masih lagi ‘bergelut’ untuk mencapai tahapnya, namun bekalan minyak akan terus disokong oleh potongan pengeluaran Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) dan penurunan inventori mentah di seluruh dunia.
“Ini yang melonjakkan harga minyak melebihi paras AS$60 setong baru-baru ini. Bagaimanapun, susulan program suntikan vaksin global, kami berpendapat bahawa pemulihan di sektor minyak dan gas akan beransur-ansur dengan 1H21 yang lebih lemah, melonjak semula pada separuh kedua tahun ini.
“Ini diharapkan dapat meningkatkan aktiviti kilang penapisan pada 2H21 yang akan memberi manfaat positif kepada permintaan kapal tangki,” jelas MIDF dalam nota kajiannya.
MIDF mengekalkan harga sasaran (TP) MISC kepada RM7.81.
Sementara itu, CGS-CIMB dalam nota kajian berbeza meningkatkan TP MISC kepada RM7.82.
Dari segi prospek pengeluaran minyak, CGS-CIMB menjangkakan OPEC+ bakal meningkatkan pengeluaran menjelang April ini sekurang-kurangnya sebanyak 1.3 juta tong setiap hari (mbpd).
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) meramalkan permintaan minyak global akan melonjak sebanyak 5.4 mbpd pada 2021 berbanding penguncupan 8.7 mbpd pada tahun lalu.
“Kadar kargo kapal tangki minyak mentah telah mengalami penurunan stok global sejak 3Q20, yang meningkat pada 1Q21 di bawah pemotongan pengeluaran 1 mbpd secara sukarela oleh Arab Saudi untuk bulan Februari dan Mac.
“OPEC mengeluarkan 25.45 mbpd pada bulan Januari, dan pengeluaran Februari mungkin turun lebih jauh kepada 24.5 mbpd, dalam anggaran kami.
“Kami yakin bahawa ahli OPEC+ mahu meningkatkan pengeluaran; ini pasti dapat membantu memulihkan kadar tangki,” jelas CGS-CIMB. - DagangNews.com