KUALA LUMPUR 7 Feb - AmInvestment Bank Research mengekalkan unjuran harga minyak mentah bagi 2022-2023 sekitar AS$70 hingga AS$75 setong buat masa ini meskipun minyak Brent melonjak melebihi AS$90 setong.
Ini berikutan kebimbangan yang semakin berkurangan bahawa varian Omicron boleh menjejaskan permintaan global dengan ketara, menurut penganalisisnya, Alex Goh.
Jelasnya, risiko kekurangan bekalan semakin meningkat dengan negara pengeksport minyak utama tidak dapat meningkatkan pengeluaran ke tahap sebelum pandemik disebabkan kekurangan pelaburan yang kronik sejak 5 tahun lalu di tengah-tengah peralihan tenaga secara berterusan.
"Memandangkan inventori Amerika Syarikat (AS) merosot 17% daripada paras setinggi setakat ini sebanyak 502 juta tong pada 26 Mac 2021 kepada paras di bawah pandemik pada 416 juta tong pada masa ini (7% di bawah purata 2019 sebanyak 448 juta tong), unjuran harga minyak kami adalah sejajar dengan Propek Tenaga Jangka Pendek EIA pada AS$75 setong untuk 2022 dan AS$68 setong bagi 2023.
"Walaupun kadar vaksin global yang tinggi, tetapi kami masih berhati-hati dengan kemunculan varian baharu yang kalis vaksin, kemungkinan minyak mentah Iran memasuki semula pasaran global, melantun semula dalam pengeluaran syal AS dan kuota pengeluaran OPEC yang longgar," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut Goh, bagaimanapun kontrak yang dikeluarkan dalam sektor minyak dan gas kepada syarikat Malaysia pada suku keempat 2021 kembali meningkat 3.5x tahun ke tahun kepada RM5.3 bilion, dengan sebahagian besarnya daripada kontrak Pemex hingga usaha sama Coastal Contracts Bhd.
"Namun begitu, fabrikasi utama, masih mengalami margin yang rendah dan kekangan kunci kira-kira seperti Sapura Energy Bhd., yang tidak memperoleh sebarang kerja-kerja berkaitan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan yang ketara," tambahnya.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas kerana harga minyak mentah yang bertambah baik dan peningkatan permintaan global akan menjadi pemangkin kepada aliran pesanan yang lebih pantas merentasi rantaian nilai.
Malah, ia juga memilih saham Hibiscus Petroleum Bhd. sebagai pilihan utama sektor berdasarkan pendedahan langsungnya dalam huluan dan harga minyak mentah yang tinggi.
Dialog Group Bhd. pula semakin berkembang dan asas pendapatan berdaya tahan menerusi menerusi terminal tangki bukan kitaran dan penyelenggaraan.
AmInvestment mengekalkan saranan 'beli' terhadap Hibiscus Petroleum dan Dialog dengan nilai wajar masing-masing pada RM1.16 dan RM3.75 sesaham. - DagangNews.com