Berjaya kumpul 96.81% saham, Sime Darby kini `wajib' ambil alih saham UMW | DagangNews Skip to main content

Berjaya kumpul 96.81% saham, Sime Darby kini `wajib' ambil alih saham UMW

KUALA LUMPUR 16 Jan - Sime Darby Bhd kini berada pada kedudukan `wajib' mengambil alih baki saham UMW Holdings Bhd selepas mengumpul 96.81% saham kumpulan perindustrian itu setakat Isnin.

 

Sime Darby akan menggunakan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) untuk mengambil alih secara paksa sebarang baki tawaran saham daripada pemegang saham yang tidak menerima tawaran itu, atau gagal memindahkan saham mereka kepada kumpulan itu, kata CIMB Investment Bank Bhd dalam satu kenyataan bagi pihak Sime Darby.

 

"Oleh itu, pemberi tawaran akan mengeluarkan notis pemerolehan wajib di bawah subseksyen 222(1) CMSA, yang akan dihantar kepada semua pemegang saham yang tidak bersetuju, dalam tempoh dua bulan mulai 15 Jan," kata kenyataan itu.

 

Pada Ogos lalu, Sime Darby mengumumkan bahawa mereka telah memperoleh 61.18% kepentingan ekuiti dalam UMW daripada syarikat induknya Permodalan Nasional Bhd dengan harga RM3.57 bilion atau RM5 sesaham, diikuti dengan tawaran am mandatori untuk membeli baki 38.82% pegangan dan mengambil UMW secara persendirian. 

 

Dengan pengambilalihan itu, Sime Darby, yang terkenal dengan jenama mewahnya seperti BMW, Jaguar, Land Rover dan Porsche, akan menambah jenama pasaran besar di bawah UMW, seperti Toyota, Lexus dan Perodua.

 

Tawaran itu akan kekal terbuka untuk penerimaan sehingga 31 Januari ini, menurut kenyataan pada hari Isnin. Sime Darby pada 12 Januari telah melanjutkan tarikh tutup untuk memperoleh baki saham UMW selama dua minggu mulai 17 Januari.

 

Saham dalam Sime Darby menokok satu sen atau 0.41% kepada RM2.45 pada Isnin, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM16.70 bilion. UMW ditutup tidak berubah pada RM5, menilai kumpulan itu pada RM5.84 bilion. - DagangNews.com