Bermaz tambah pegangan dalam Berjaya Auto | DagangNews Skip to main content

Bermaz tambah pegangan dalam Berjaya Auto

Bermaz kini mengawal pengedaran tempatan bagi tiga jenama iaitu Mazda, Kia dan Peugeot.

 

 

KUALA LUMPUR 9 Jun - Pengambilalihan lagi 35% kepentingan oleh Bermaz Auto dalam Berjaya Auto Alliance Sdn. Bhd. (BAASB) dari Berjaya Corp. dengan nilai RM4.6 juta dilihat satu urus niaga yang adil, menurut MIDF Research.

 

Secara keseluruhan, Bermaz kini memiliki 55% kepentingan dalam BAASB.

 

Penganalisisnya, Hafriz Hezry berkata, ini berdasarkan kepada nilai aset bersih BAASB sebanyak RM13 juta setakat April 2021.

 

Katanya, transaksi itu mewakili 5x BAASB unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 sebanyak RM2.5 juta, yang merupakan penilaian tidak munasabah dari perspektif perolehan harga berbanding Bermaz pada 12x tahun kewangan 2022 perolehan harga.

 

"Kami berpendapat, BAASB tidak lagi memerlukan suntikan modal selain daripada RM12 juta yang telah disuntik pemegang saham.

 

"Pertimbangan tunai RM4.6 juta bagi pengambilalihan saham itu akan diselesaikan oleh Bermaz melalui kewangan dalaman (1.3% daripada tunai bersih Bermaz sebanyak RM354 juta setakat suku ketiga 2021)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Hafriz berkata, memandangkan Bermaz memainkan peranan penting dalam operasi BAASB meskipun sebelum itu memiliki 20% kepentingan, ia hanya memberi kesan minimum kepada anggaran pendapatan BAASB walaupun ketiadaan Berjaya.

 

BAASB sebelum ini memperoleh hak pengedaran eksklusif bagi model Peugeot di Malaysia oleh Groupe PSA (kini dikenali sebagai Stellantis) pada Disember 2020.

 

Secara keseluruhan, Bermaz kini mengawal pengedaran tempatan bagi tiga jenama iaitu Mazda, Kia dan Peugeot.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran Bermaz pada RM1.70. - DagangNews.com