Bernama TV kuasai teknologi digital untuk beri impak positif kepada peningkatan capaian | DagangNews Skip to main content

Bernama TV kuasai teknologi digital untuk beri impak positif kepada peningkatan capaian

SEORANG pengacara program bersiap sedia untuk bersiaran di studio Bernama TV.
Oleh FAIZAL ZAKARIA

BERHADAPAN dengan perkembangan dan perubahan drastik teknologi digital yang berlaku pada hari ini bukanlah satu perkara yang mudah dan boleh dipandang remeh khususnya oleh pemain industri media tempatan.

 

Jika tidak melaksanakan perancangan yang betul, sebanyak mana pun usia sesebuah organisasi atau syarikat media itu, mereka boleh terkorban dan terkubur begitu sahaja jika perjalanan operasi syarikat tidak dilaksanakan dengan teliti.

 

Pola perubahan yang berlaku secara terus menerus itu secara jelas telah memaksa pemain industri sedia ada untuk bersiap sedia meningkatkan keupayaan operasi masing-masing.

 

Ia bagi memastikan agar mereka dapat terus bersaing, khususnya terhadap organisasi yang baru menceburi industri media tetapi telah berjaya menempa nama disebabkan oleh keupayaan yang dimiliki.

 

Menyedari perkara itu, Ketua TV, Jabatan Penyiaran Bernama, Nor Hamzeela Md. Hambali mengakui pola perubahan dalam industri media itu merupakan satu cabaran yang besar yang perlu dihadapi oleh pihaknya selaku pengamal media utama di negara ini.

 

“Jika kita lihat kepada corak perubahan industri media di negara ini, ia jelas menunjukkan kepada kita bahawa kehadiran pemain baharu industri terutamanya portal-portal berita selain syarikat swasta dan orang perseorangan yang turut menjadi menyedia kandungan sudah mula diterima oleh rakyat di negara ini.

 

“Ia bukan disebabkan oleh masyarakat sudah bosan atau hilang kepercayaan kepada mengamal media arus perdana yang sedia ada, tetapi mereka lebih tertarik dengan bentuk penyampaian dan penyaluran maklumat yang disampaikan secara bersahaja menerusi platform digital dan media sosial.

 

“Sebab itulah sejak beberapa tahun lalu, Bernama TV telah mula melangkah ke platform digital dengan menggunakan pelbagai saluran seperti Facebook, Twitter, Instagram, Youtube dan yang terkini ialah aplikasi Tik Tok sebagai media penyampaian maklumat.

 

“Menerusi cara itu, masyarakat bukan sahaja dapat mencari maklumat yang diperlukan menerusi platform digital dan media sosial kesukaan mereka, tetapi juga mendapat maklumat yang lebih sahih dan dipercayai menerusi saluran yang dimiliki Bernama TV,” katanya.


 

Bernama TV
Nor Hamzeela Md. Hambali

 


Beliau berkata demikian dalam satu sesi temu bual eksklusif yang diadakan di ibu pejabat Bernama TV di Wisma Bernama, Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Mengulas lanjut mengenai platform media sosial milik Bernama TV, Nor Hamzeela berkata, setakat Jun tahun ini, sebanyak 78.38 juta tontotan video telah direkodkan menerusi lima saluran media sosial tersebut, berbanding 73 juta pada 2021.

 

Saluran Facebook Bernama TV telah mempunyai seramai 674,500 pengikut, Twitter (556,300 pengikut), Instagram (101,500 pengikut), Youtube (152,200 pengikut) dan TikTok (259,100 pengikut).


 

Bernama TV
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin ditemubual oleh hos Bernama TV Kamal Azudin Md Yusoff sempena Karnival Merdeka Keluarga Malaysia di Padang Besar pada 13 Ogos 2022.

 


“Selain saluran rasmi media sosial milik Bernama TV, kandungan kami juga turut dikongsi oleh pelbagai pihak seperti menerusi akaun media sosial dan aplikasi rasmi milik menteri, orang-orang kenamaan, organisasi kerajaan dan korporat, kementerian dan sebagainya.

 

“Perkongsian seperti itu bukan sahaja membuktikan bahawa kandungan yang kami sediakan adalah dipercayai, tetapi turut membantu meluaskan capaian kandungan yang kami sediakan kepada pelbagai golongan sasaran,” katanya.


 

Bernama TV
SEBAHAGIAN daripada editorial Bernama TV di Wisma Bernama, Kuala Lumpur.

 


Dalam konteks platform stesen televisyen pula katanya, pihaknya menyasarkan seramai 1.3 juta langganan isi rumah akan mengikuti Bernama TV menerusi saluran MyFreeview, manakala 2.9 juta langganan dan 1.3 juta langganan masing-masing menerusi saluran NJOI milik Astro dan Unifi milik Telekom Malaysia.

 

Berkenaan pola audiens yang mengikuti saluran Bernama TV, Nor Hamzeela menjelaskan sebahagian besar mereka terdiri daripada lingkungan umur 15 hingga 34 tahun yang mahir menggunakan teknologi digital.

 

Bernama TV juga turut menjadi tumpuan golongan berusia 55 tahun ke atas yang lebih cenderung untuk mendapatkan maklumat dan berita yang sahih yang disediakan oleh saluran itu, berbanding saluran media alternatif yang banyak ditawarkan oleh pelbagai pihak pada masa kini, katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bernama TV laksana pelbagai strategi kukuhkan kedudukan dalam persaingan industri penyiaran negara

 

Justeru katanya, sebagai pelaburan jangka panjang bagi meningkatkan prestasi Bernama TV, pihaknya telah meletakkan sasaran perbelanjaan yang tinggi bagi menampung kos operasi stesen media tersebut sehingga tahun 2025 dengan peningkatan perbelanjaan sekitar 10 peratus bagi setiap tahun.


 

Bernama TV
Nor Hamzeela Md. Hambali berbincang dengan kakitangan Bernama TV.

 


Unjuran perbelanjaan itu katanya, bagi memastikan Bernama TV dapat terus bersaing dalam era media digital, sekali gus mengekalkan keupayaannya sebagai saluran media arus perdana yang berkredibiliti dan dipercayai. – DagangNews.com