BERNAS dinobatkan sebagai pemenang anugerah platinum AIGA 2022 | DagangNews Skip to main content

BERNAS dinobatkan sebagai pemenang anugerah platinum AIGA 2022

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (kanan) menyampaikan anugerah platinum kepada Pengarah Urusan Kumpulan BERNAS, Datuk Haris Fadzilah Hassan pada penganjuran AIGA 2022 pada 18 Januari 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dinobatkan sebagai penerima anugerah platinum pada Majlis Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 yang julung kali dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM), baru-baru ini.

 

Antara amalan terbaik BERNAS yang unik adalah saluran pendedahan maklumat bebas yang diuruskan oleh pihak ketiga. 

 

Impak pelaksanaan terbukti melalui peningkatan jumlah laporan diterima yang jelas menunjukkan kepercayaan dan keyakinan pemberi maklumat tentang kebebasan dan keselamatan organisasi untuk melaporkan sebarang kesalahan integriti dan rasuah dalam organisasi tersebut. 

 

Selain BERNAS, lima penerima anugerah emas utama yang mendapat markah tertinggi telah dipilih untuk bersaing dalam kategori platinum iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Johor Port Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Northport Bhd. 

 

Kelima-lima organisasi ini telah menunjukkan komitmen paling tinggi terutama di peringkat pengurusan tertinggi dalam memastikan pelaksanaan dan pembudayaan amalan integriti, tata kelola dan anti-rasuah dalam organisasi masing-masing.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, pihaknya menerima sebanyak 116 penyertaan daripada organisasi-organisasi merangkumi sektor awam dan swasta di seluruh negara. 

 

Beliau berkata, daripada jumlah ini, hanya sebanyak 92 organisasi terpilih untuk menerima Anugerah AIGA 2022 yang merangkumi 16 anugerah emas, 34 anugerah perak dan 42 anugerah gangsa.

 

 

aiga
Datuk Seri Fadillah Yusof (dua, kanan) menyampaikan anugerah emas kepada Datuk Haris Fadzilah Hassan pada penganjuran AIGA 2022 pada 18 Januari 2023.

 

 

"Sambutan ini menzahirkan komitmen ramai pihak tentang pentingnya pengamalan budaya integriti dan tata kelola terbaik dalam organisasi.

 

“Keistimewaan AIGA berbanding dengan anugerah lain adalah kita mendapatkan hala tuju, aspirasi dan matlamat dari pengurusan tertinggi organisasi bagi memastikan pelaksanaan dan pembudayaan amalan integriti, tata kelola dan anti rasuah dalam setiap proses kerja organisasi.

 

"Ia juga memberikan pengiktirafan dan penghargaan atas usaha yang telah dilakukan oleh agensi-agensi dalam menambahbaik lanskap dan ekosistem semua industri di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

aiga
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din (dua, kiri) menerima anugerah emas daripada Datuk Seri Fadillah Yusof pada penganjuran AIGA 2022 pada 18 Januari 2023.

 

 

aiga

 

 

aiga

 

 

aiga

 

 

AIGA adalah satu anugerah yang dibangunkan IIM bertujuan untuk mengiktiraf dan menghargai organisasi sektor awam dan swasta yang telah menzahirkan komitmen dan usaha dalam pembudayaan dan pengamalan integriti serta tata kelola terbaik.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pemantapan tata kelola organisasi melalui Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah

 

Panel penilai pula terdiri daripada pakar-pakar dari sektor awam, korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memiliki kepakaran di dalam bidang audit kualiti, integriti, tata kelola dan anti rasuah. - DagangNews.com