Bilangan penganggur terus menurun kepada 588,700 orang pada Mac 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Bilangan penganggur terus menurun kepada 588,700 orang pada Mac 2023 - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Mei - Bilangan penganggur terus mencatatkan penurunan 3.5% kepada 588,700 orang pada Mac 2023 berbanding 591,900 yang dicatatkan pada Februari 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan ekonomi yang optimis pada Mac 2023 telah membolehkan pasaran buruh negara terus berkembang dengan stabil.

 

Oleh itu katanya, bilangan tenaga buruh pada Mac 2023 terus mengukuh sebanyak 0.2% merekodkan 16.81 juta orang berbanding 16.78 juta pada Februari 2023. 

 

"Kadar penyertaan tenaga buruh pada Mac kekal pada 69.9% seperti bulan sebelumnya. Kedudukan tenaga buruh yang semakin baik pada bulan tersebut adalah berikutan peningkatan bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur terus menurun," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, pada Mac 2023, sebanyak 80.3% daripada jumlah penganggur adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.

 

Ujar beliau, kategori ini menurun sebanyak 0.6% kepada 472,900 orang berbanding 475,500 pada Februari 2023.

 

"Dalam kalangan penganggur aktif, 61.3% adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun. Begitu juga, mereka yang percaya tiada pekerjaan yang tersedia atau penganggur tidak aktif, mencatatkan penurunan sebanyak 0.5% kepada 115,800 orang berbanding 116,400 orang pada Februari 2023," katanya.

 

 

dosm

 

 

Katanya, kadar pengangguran bagi belia berusia 15 hingga 24 tahun berkurang sebanyak 0.1 mata peratus kepada 11.2 peratus, merekodkan 317,300 penganggur belia pada Mac 2023 berbanding 11.3% kepada 320,800 orang pada Februari 2023.

 

Dalam pada itu, kadar pengangguran bagi belia berusia 15 hingga 30 tahun meningkat sebanyak 0.1 mata peratus kepada 7.1%, dengan bilangan penganggur belia sebanyak 454,900 orang berbanding 7% kepada 450,200 orang pada Februari 2023.

 

Katanya, bagi kadar pengangguran dan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) mengikut negeri, sebahagian besar negeri merekodkan penuruan dalam kadar pengangguran.

 

"Kadar pengangguran terendah pada suku tersebut adalah di Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan 0.8%, diikuti Perlis (2.1%), Pulau Pinang (2.3%) dan Negeri Sembilan (2.5%).

 

"Pada masa sama, sembilan negeri mencatatkan peningkatan dalam KPTB, yang menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran. KPTB tertinggi adalah di Selangor dan Putrajaya, yang merekodkan 76.5%, diikuti Kuala Lumpur (73.1%), Pulau Pinang (71.4%) dan Sabah (70.6%). - DagangNews.com