Bilangan pergerakan penumpang di lapangan terbang bertambah baik pada Julai, kata MAHB | DagangNews Skip to main content

Bilangan pergerakan penumpang di lapangan terbang bertambah baik pada Julai, kata MAHB

Gambar hiasan oleh Sangga Rima Roman Selia

 

 

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkat 28.1% tahun ke tahun kepada 3.3 juta penumpang pada bulan Julai 2021, melepasi angka tiga juta untuk pertama kalinya tahun ini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pengendali lapangan terbang iru berkata kebanyakannya disumbangkan oleh trafik yang kembali pulih di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SGIA) berikutan kelonggaran sekatan perjalan pada awal bulan Jun.

 

Sektor domestik dan antarabangsa masing-masing meningkat 198.7% dan 0.9% berbanding tempoh yang sama pada 2020, masing-masing mencatat 1.1 juta dan 2.2 juta penumpang, katanya.

 

"Berasaskan tempoh 12 bulan, rangkaian lapangan terbang MAHB mencatatkan penurunan 68% kepada 28.8 juta penumpang.

 

"Keseluruhan pergerakan pesawat menurun satu peratus dengan pergerakan antarabangsa mencatat pertumbuhan 105.2% manakala pergerakan domestik merosot 22.8% pada Julai 2020," katanya, lapor Bernama.

 

MAHB berkata, lapangan terbangnya di Malaysia mencatatkan 300,000 penumpang pada bulan Julai 2021, penurunan 80.1% berbanding Julai 2020.

 

Di sektor antarabangsa dan domestik masing-masing mencatatkan penurunan 20.2% dan 84.6% masing-masing kepada 73,000 dan 189,000 penumpang, katanya.

 

"Pergerakan pesawat antarabangsa mencatat pertumbuhan 31.4% sementara pergerakan pesawat domestik jatuh 57.6%.

 

Sementara itu, jumlah penumpang di SGIA terus mencatat pertumbuhan dengan peningkatan 141.8% pada Julai 2021 berbanding tempoh yang sama tahun lalu yang berjumlah tiga juta penumpang.

 

"Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing meningkat 275% dan 106.5% dengan hampir satu juta dan dua juta penumpang.

 

"Jumlah pergerakan pesawat pula meningkat 110%. Pergerakan pesawat antarabangsa dan domestik mencatat kenaikan masing-masing 204.7% dan 77.8% berbanding Julai 2020,” katanya.

 

Sementara itu, ia berkata pergerakan kargo di Malaysia mencatat pertumbuhan 13.6% untuk Julai 2021 berbanding Julai 2020, ia menghasilkan peningkatan
50 peratus dalam pergerakan pesawat yang membawa kargo. - DagangNews.com