BIMB Investment lancar unit amanah wakaf pertama | DagangNews Skip to main content

BIMB Investment lancar unit amanah wakaf pertama

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Mac - BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment), sebuah anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) melancarkan Dana Makmur myWakaf. 

 

Produk itu merupakan sebuah dana unit amanah wakaf pertama di bawah Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), diperkenalkan pada 12 November 2020 serta sebuah dana pelaburan mampan dan bertanggungjawab di bawah Garis Panduan Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab SC. 

 

Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza Mohamed Abdulla berkata, pihaknya mengambil masa dua tahun melakukan penyelidikan sebelum melancarkan dana unit amanah itu. 

 

Mohamed Ridza Mohamed Abdulla

 

“Produk ini mempunyai keunikan di dalam ciri-cirinya kerana ia menggabungkan prinsip-prinsip yang berasaskan syariah untuk kemajuan masyarakat. Selain kewangan sosial, tumpuan dalam penjagaan kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan masyarakat sambil memberikan pulangan pelaburan bagi pelabur telah menjadikan dana ini benar-benar inovatif. 

 

“Kami bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Bahagian Pasaran Modal Islam SC, Pusat Sosial Kewangan Bank Islam, Bahagian Perhubungan Strategik dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM). 

 

“Harapan saya adalah agar BIMB Investment terus memperkenalkan produk-produk yang menarik di samping usaha kami untuk mengembangkan lagi Kewangan Islam,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, Dana Makmur myWakaf sesuai bagi pelabur yang ingin menyalurkan sebahagian daripada pulangan mereka untuk tujuan wakaf kepada masyarakat kurang bernasib baik di dalam sektor-sektor yang difokuskan di Malaysia.

 

Jelas BIMB Investment, produk itu berpotensi untuk mengagihkan pendapatan bulanan, tertakluk kepada ketersediaan pendapatan dan menyalurkan 50% pengagihan pendapatan untuk tujuan wakaf melalui inisiatif myWakaf AIBIM. 

 

Kata firma pengurusan dana itu, laporan Aset Wakaf Pertengahan Tahun akan dipaparkan di dalam laporan interim dan tahunan dana, di mana pemegang unit akan dimaklumkan mengenai pengedaran aset wakaf.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Holdings Berhad dan Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed melihat produk berkenaan merupakan bukti hubungan baik komuniti kewangan Islam dalam mengembangkan sebuah produk inovatif, seterusnya mengubah landskap industri tersebut.

 

Mohd. Muazzam Mohamed
Mohd. Muazzam Mohamed

 

“Pelancaran Dana Makmur myWakaf sejajar dengan visi dan misi Bank Islam di dalam agenda kewangan sosialnya. Kini, dengan Dana Makmur myWakaf, semua rakyat Malaysia mempunyai akses kepada instrumen wakaf di dalam bentuk pelaburan dan pada masa yang sama menyumbang kepada pembangunan sosial dan masyarakat di seluruh negara. 

 

“Yang paling penting, Dana Makmur myWakaf menawarkan saham akhirat bagi umat Islam. Saya juga amat gembira dengan kerjasama bersama AIBIM di bawah inisiatif myWakaf Bank Negara Malaysia yang telah sama-sama membangunkan Dana Makmur myWakaf.

 

"MyWakaf AIBIM sebagai pentadbir dana wakaf akan memberikan pentadbiran yang profesional bagi wakaf untuk kepentingan masyarakat di seluruh negara,” jelasnya. 

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd. Lutfi berkata, sebagai dana unit amanah wakaf yang pertama di bawah Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf SC, produk itu dibina untuk mendorong pertumbuhan segmen kewangan sosial Islam tempatan. 

 

Najmuddin Mohd. Lutfi
Najmuddin Mohd. Lutfi

 

“Ini sejajar dengan matlamat BIMB Investment untuk meggabungkan objektif sosial ke dalam pelaburan runcit untuk memberikan manfaat kepada masyarakat. Kami percaya bahawa wakaf mempunyai potensi besar dalam membangunkan ekonomi dan menghasilkan kesan positif dan lestari secara keseluruhan terhadap ekonomi, komuniti dan persekitaran Malaysia,” katanya lagi.

 

Dana itu ditawarkan di dalam mata wang ringgit, dolar Amerika dan Australia dengan harga tawaran awal sebanyak 25 sen/cent seunit dan pelaburan awal minimum sebanyak RM200, AS$200 dan AU$200. - DagangNews.com