BIMB Securities mulakan liputan terhadap Lee Swee Kiat dengan saranan 'beli' TP 83 sen | DagangNews Skip to main content

BIMB Securities mulakan liputan terhadap Lee Swee Kiat dengan saranan 'beli' TP 83 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Ogos - BIMB Securities Research memulakan liputan terhadap Lee Swee Kiat Group Bhd. (LSKG) dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) 83 sen sesaham. 

 

Menurutnya, kumpulan dijangka meraih manfaat daripada pembukaan semula ekonomi di tengah-tengah pemulihan permintaan  tilam dari pasaran tempatan dan luar negara serta sumbangan lebih tinggi daripada kerjasama baharu dengan Cuckoo Malaysia.

 

Firma itu menganggarkan keuntungan teras LSKG akan berkembangan dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 3 tahun sebanyak 24.8% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) hingga FY24 didorong sumbangan lebih kukuh menerusi semua segmen perniagaan.

 

"Kami menjangkakan model sewaannya daripada tilam Cuckoo Napure mencecah julat 18,000 hingga 20,000 volum jualan pada FY22 (berbanding 7,000 bagi FY21) dengan pendapatan dianggarkan mencecah RM100 juta antara FY22 hingga FY24," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

LSKG telah beroperasi lebih 45 tahun sejak ditubuhkan pada 1975 dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2004.

 

Ia merupakan pengeluar peralatan tempat tidur lateks asli terbesar di Malaysia dan pengeluaran produknya merupakan peralatan tempat tidur lateks organik pertama dan satu-satunya yang disahkan di bawah Sistem Lateks Organik Global (GOLS).

 

Ini membezakan LSKG daripada pesaingnya yang lain dan asas pasaran yang semakin berkembang untuk kumpulan pada masa hadapan.

 

BIMB Securities menjangkakan LSKG berupaya mengekalkan pendapatannya kira-kira RM11.7 hingga RM14.5 juta bagi tempoh FY22 hingga FY24 didorong peningkatan semua segmen perniagaannya. 

 

"Kami turut menganggarkan kumpulan akan membayar dividen sesaham (DPS) bagi FY22 hingga FY24 sebanyak 3.5 hingga 5.5 sen berikutan penjanaan aliran tunai bebas yang kukuh membayangkan hasil dividen yang menarik antara 5 hingga 8%," katanya.

 

Setakat 11.37 pagi ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 70 sen dengan 13,200 saham diniagakan. -DagangNews.com