Bina Darulaman diberi penarafan MARC-2IS terhadap program ICP bernilai RM100 juta | DagangNews Skip to main content

Bina Darulaman diberi penarafan MARC-2IS terhadap program ICP bernilai RM100 juta

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) telah mengesahkan penarafan MARC-2IS terhadap program Nota Komersial Islamik (ICP) Bina Darulaman Bhd. (BDB) bernilai RM100 juta bagi tempoh lima tahun.

 

Dalam tinjauan kedudukan terbaru yang dikeluarkan pada Ogos 2022, agensi itu menyatakan penarafan itu diberikan berdasarkan pemilikan tanah BDB yang sedia ada untuk pembangunan hartanah serta kecairan yang mencukupi untuk memenuhi operasi jangka pendek dan komitmen kewangan.

 

Selain itu, termasuk aliran keuntungan yang stabil daripada kontrak penyelenggaraan jalan serta peningkatan permintaan dalam sektor pembinaan.

 

Agensi tersebut juga telah menyatakan bahawa status BDB selaku entiti milik Kerajaan Kedah, telah memposisikan mereka dalam kedudukan yang baik untuk memperolehi kontrak pembinaan negeri, yang juga merupakan antara faktor utama BDB dipertimbangkan sebagai pilihan utama.

 

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata, kajian MARC mengesahkan strategi dan pelaksanaan pengurusan BDB dalam mewujudkan model perniagaan lancar untuk syarikat dan penjanaan nilai jangka panjang kepada pemegang saham. 

 

"Pelaksanaan dan penyampaian pelan pemulihan BDB yang dirangka untuk menangani keadaan operasi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 adalah sebab utama mengapa BDB telah muncul pada kedudukan kewangan dan operasi lebih kukuh pada tahun 2022," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Iskandar berkata, kunci kejayaan BDB adalah penstabilan perdapatan, pengoptimuman kos, kecekapan operasi dilipat-gandakan, pendigitalan dan pembangunan modal insan yang telah mewujudkan daya saing dan dinamisme yang semakin meningkat. 

 

 

BDB
Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli

 

 

Beliau menambah bahawa BDB komited untuk terus mengimbangi semula dan mengoptimumkan operasi perniagaan dalam memastikan kesinambungan dan daya tahan syarikat.

 

"Ketahanan, fokus tinggi dan keazaman kami telah menunjukkan kemampuan yang boleh dicapai apabila kami bangkit daripada pandemik ini untuk menjadi perniagaan yang lebih baik. Normalisasi terhadap rantaian bekalan dan penyambungan semula perniagaan, kepada operasi seperti sedia kala dapat mengatasi permintaan yang meningkat untuk setiap produk dan perkhidmatan. 

 

"Perniagaan teras BDB, Pembangunan Hartanah dan Kejuruteraan, Pembinaan dan Kuari (ECQ) berada di kedudukan baik untuk memaksimumkan peluang perniagaan dalam kondisi perniagaan yang semakin baik ini. 

 

"Divisyen hartanah BDB akan memberi tumpuan untuk membuka potensi nilai pemilikan tanah dengan membangunkan perbandaran sedia ada, dan membina perbandaran perumahan mampu milik yang baru bersama rakan kongsi kami," katanya.

 

Pada masa sama katanya, ECQ akan terus mengukuhkan aliran pendapatannya yang stabil daripada projek penyelenggaraan jalan negeri yang sedang berlangsung, dan meningkatkan permintaan untuk operasi kuarinya.

 

"Melihat kepada tahun 2023, BDB menyasarkan untuk mendapatkan kontrak dan peluang perniagaan baharu di luar Kedah untuk meningkatkan profilnya. Matlamat ini akan dicapai dengan komitmen berterusan BDB terhadap analisis yang mantap dan proses membuat keputusan berkaitan dengan pelaburan projek dan penyampaian operasi," katanya. - DagangNews.com