Bina Puri menang kontrak kereta api laju bernilai RM1.036 bilion di Thailand | DagangNews Skip to main content

Bina Puri menang kontrak kereta api laju bernilai RM1.036 bilion di Thailand

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Anak syarikat pembuatan konkrit dan pembinaan, Bina Puri Holdings Berhad (Bina Puri) iaitu Bina Puri Sdn. menerusi syarikat usaha samanya, SPTK Joint Venture Company Limited berjaya memenangi sebuah kontrak pembinaan kereta api laju di Thailand. 

Kontrak yang bernilai THB7.75 bilion bersamaan RM1.036 billion melibatkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi yang menyambungkan kawasan di Bangkok ke Seksyen Nong Khai, (Fasa 1 Bangkok-Nakhon Ratchasima).

Bina Puri menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan aset bersih kumpulan syarikat. 

“Dengan perolehan kontrak itu, pesanan buku yang belum dibina bernilai RM1.9 bilion setakat ini.

“Kontrak itu tidak akan memberi kesan ke atas modal saham dan pemegangan saham oleh pihak berkepentingan di Bina Puri,” kata syarikat itu. 

Bina Puri telah menyaksikan sebanyak 26 projek dengan anggaran nilai RM2 bilion berjaya diselesaikan di Thailand sejak 2003.

“Tiada pengarah atau pemegang saham besar, individu berkaitan dengan mereka dan anak syarikat mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dengan kontrak ini. 

“Pengarah syarikat berpendapat bahawa kontrak ini merupakan sesuatu yang baik buat kumpulan syarikat,” tambah Bina Puri. - DagangNews.com