KUALA LUMPUR 5 Sept - Binastra Corporation Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Binastra Builders Sdn Bhd menerima kontrak pembinaan RM283.33 juta bagi membina bangunan pangsapuri di Taman Desa, Kuala Lumpur.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Binastra berkata, anak syarikatnya itu menerima surat anugerah bertarikh 5 September 2024 daripada Kaisar Maxim Sdn Bhd bagi kerja-kerja pembinaan Utama projek tersebut.
"Pembangunan yang dicadangkan untuk Fasa 1 - 3 blok pangsapuri (624 unit) dengan 31 tingkat, termasuk 4 tingkat podium dan 5 tingkat bawah tanah untuk tempat letak kereta, serta 1 unit Tenaga Nasional Berhad (TNB), Blok A - 208 unit, Blok B - 208 unit, dan 1 unit pangsapuri pemaju di tingkat bumbung, Blok C - 208 unit di Lot 481970 (Fasa 1) di Kuala Lumpur," katanya hari ini.
Menurut Binastra, kontrak ini akan bermula pada 17 September 2024 dan perlu disiapkan dalam masa 32 bulan dari tarikh permulaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Binastra peroleh kontrak pembinaan pangsapuri 39 tingkat bernilai RM235.5 juta
Jelas Kumpulan itu, kemenangan kontrak ini dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan untuk Kumpulan dalam tempoh empat tahun kewangan akan datang.
"Kontrak ini tidak akan memberi kesan terhadap modal saham yang diterbitkan oleh Syarikat tetapi dijangka akan menyumbang secara positif kepada keuntungan dan aset bersih setiap saham Kumpulan untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Januari 2025 hingga 2028," ujarnya.
Kontrak terbaru ini, yang merupakan kontrak ke-10 Binastra untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Januari 2025 (FY2025), menjadikan jumlah kontrak yang dimenangi untuk tahun kewangan ini sebanyak RM1.9 bilion
Sementara itu, dalam kenyataan medianya, Datuk Jackson Tan Kak Seng, Pengarah Urusan Binastra Corporation yakin Kumpulan kini berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran tahun penuh sebanyak RM3.0 bilion.
"Kami kekal bertekad untuk memanfaatkan kepakaran kami dalam industri pembinaan untuk merebut peluang baru, terutamanya dalam pusat data serta kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC).
"Kami menantikan untuk memberikan kemas kini yang lebih menarik kepada pemegang saham dalam baki bulan FY2025," ujarnya.
Sehingga 5 September 2024, nilai buku pesanan tertunggak Binastra berjumlah RM2.8 bilion, yang dijangka akan menyediakan keterlihatan kewangan dalam tempoh empat tahun akan datang. - DagangNews.com