Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Nov - Bintai Kinden Corporation Berhad mendapat kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) hari ini untuk memperoleh 100% kepentingan ekuiti dalam Johnson Medical International Sdn Bhd (Johnson Medical) pada harga RM50 juta.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bintai Kinden Azri Azerai berkata, pengambilalihan itu akan dipenuhi melalui gabungan tunai berjumlah RM26 juta dan terbitan kira-kira 58.5 juta saham biasa baharu di Bintai Kinden pada harga RM0.41 setiap satu.
Beliau berkata, pengambilalihan itu akan membolehkan Kumpulan mengembangkan pangkalan pelanggan sedia ada dan meluaskan penawaran perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) untuk merangkumi industri perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia.
"Johnson Medical telah mencipta rekod prestasi yang terbukti dan telah berjaya dalam melaksanakan dan menyiapkan pelbagai projek pembinaan untuk pelbagai kemudahan/pusat perubatan di Malaysia.
“Pemerolehan ini akan membolehkan Kumpulanmemanfaatkan kepakaran, pengetahuan, kemahiran dan sumber Johnson Medical untuk mengembangkan segmen perniagaan pembinaannya, menawarkan projek pembinaan yang lebih besar dalam industri perubatan dan penjagaan kesihatan serta meningkatkan kehadiran Kumpulan dalam industri pembinaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, pengambilalihan itu akan membolehkan Syarikat mendapat akses segera ke dalam perniagaan yang sedang berjalan dengan buku pesanan yang belum dibilkan berjumlah kira-kira RM34.6 juta, yang terdiri daripada pembekalan dan pemasangan peralatan berkaitan perubatan dan pembinaan kemudahan berkaitan perubatan seperti dewan bedah, sistem pengudaraan, bekalan perubatan kemudahan dan peralatan bekalan gas di Malaysia.
"Sehubungan itu, pengambilalihan ini dijangka menjadi pendapatan tambahan kepada Kumpulan apabila Johnson Medical merealisasikan keuntungan daripadanya," katanya.
Selain itu beliau berkata, pengambilalihan itu memberikan jaminan keuntungan bersih sebanyak RM9.10 juta dalam tempoh dua tahun yang diterjemahkan kepada purata keuntungan bersih sebanyak RM4.55 juta untuk tahun kewangan 2022 dan 2023.
Ditubuhkan pada tahun 1994, Johnson Medical ialah penyedia perkhidmatan kejuruteraan M&E yang memberi tumpuan kepada pembuatan, pembekalan dan pemasangan sistem sokongan perubatan dan peralatan berkaitan, sistem pengudaraan untuk udara bersih, dewan bedah, unit penjagaan kritikal, loket pengurusan cecair dan sistem penghantaran gas perubatan. -DagangNews.com