Bisnes bank digital dijangka berkembang 4 kali lebih pantas  | DagangNews Skip to main content

Bisnes bank digital dijangka berkembang 4 kali lebih pantas 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Perniagaan-perniagaan perbankan digital dijangka berkembang empat kali lebih pantas daripada sistem perkhidmatan kewangan di Malaysia menjelang lima tahun akan datang. 

 

Unjuran itu dibuat oleh firma audit, PwC pada anjuran Malaysia Corporate Day CGS-CIMB Research Ke-13 baru-baru ini. 

 

Ini sejajar dengan jangkaan peralihan bank-bank digital di rantau Asia Tenggara. 

 

“Pada pandangan kami, kadar pertumbuhan tinggi bank-bank digital bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan kadarnya rendah pada tahun 2019 ketika pengawal selia di negara-negara Asia Tenggara telah mula mengeluarkan lesen perbankan digital. 

 

“PwC berpendapat rakyat Malaysia terbuka dengan bank-bank digital baharu, di mana berdasarkan kaji selidiknya, 74% daripada rakyat Malaysia suka rela mahu menjadi pelanggan bank-bank digital. 

 

“Memandangkan model perniagaannya tanpa cawangan, bank-bank digital biasanya akan mempunyai kecekapan operasi lebih baik,” jelas nota kajian CGS-CIMB yang memetik pandangan panel dari PwC. 

 

Seiring perkembangan sektor itu, Bank Negara Malaysia (BNM) pada 31 Disember 2020 telah mengeluarkan kerangka pelesenan bagi bank-bank digital dan permohonannya dibuka pada 30 Jun 2021. 

 

Bank pusat itu menyasarkan terbitan lima lesen (minimum satu untuk bank digital Islam) pada 31 Disember depan. 

 

Sehubungan itu, GCS-CIMB menjangkakan bank digital baharu bakal memulakan operasi pada tahun hadapan. 

 

Lebih 50 syarikat dan pihak menyatakan minat mereka untuk membuka bank digital termasuk Maybank, CIMB Bank, Hong Leong Bank, AmBank Group, Affin Bank, dan Standard Chartered Bank.

 

Senada PwC, CGS-CIMB juga meramalkan bahawa bank digital baharu tidak akan memberi ancaman kepada perniagaan bank-bank yang telah menapak dalam tempoh tiga hingga lima tahun mendatang. 

 

“Seperti yang dinyatakan dalam kerangka pelesenan bank digital oleh BNM, fokus bank digital baharu adalah untuk menyediakan produk dan perkhidmatan kepada segmen yang tidak dilindungi dan / atau tidak dilayan, yang bukan merupakan sasaran pasaran utama bagi bank sedia ada.

 

“Kerangka itu juga menyatakan bahawa bank digital perlu memastikan jumlah keseluruhan aset tidak lebih daripada RM3 bilion (setiap bank) dalam tempoh lima tahun selepas tarikh operasi mereka bermula. 

 

“Dalam konteks ini, jumlah aset terkumpul kelima-lima bank digital baharu ini akan mencecah maksimum RM15 bilion menjelang lima tahun akan datang, di mana hanya 0.5% daripada jumlah aset sembilan bank tempatan utama iaitu RM2.79 trilion setakat penghujung September 2020,” tambah CSG-CIMB. 

 

Jangkaan kemunculan pemain industri perbankan digital pada 2022 tidak mengubah penarafan ‘overweight’ oleh CGS-CIMB ke atas sektor perbankan. - DagangNews.com